Siasatan polis terhadap Teresa Kok didakwa berasaskan satu artikel yang diterbitkan di Utusan Malaysia yang mengulas isu azan, tulisan jawi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan babi.
Dalam kenyataannya tidak lama selepas dibebaskan tengah hari ini, ahli parlimen Seputeh berkata polis tidak mengemukakan sebarang bukti terhadapnya kecuali membangkitkan beberapa isu seperti ditimbulkan dalam artikel itu yang diterbitkan 10 September lalu.
"Selepas ditahan selepas tujuh hari dengan berselindung di sebalik apa yang dinamakan siasatan, polis gagal menunjukkan sebarang bukti atau dalil pembabitan saya dalam kegiatan yang boleh mendorong ketegangan kaum atau agama," kata Teresa, yang juga exco kanan kerajaan Selangor.
Beliau dibebaskan jam 1 tengah hari tadi di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur sejak ditahan Jumaat minggu lepas (foto kanan).
Tambahnya, tiga persoalan utama yang ditanya pegawai-pegawai penyiasat kepadanya:
i) sama ada beliau terlibat menggerakkan sekumpulan penduduk Bandar Kinrara untuk menyerahkan petisyen bagi membantah azan di masjid Bandar Kinrara;
ii) sama ada beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 30 peratus peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) harus diberikan kepada badan-badan agama bukan Islam; dan
iii) sama ada beliau menentang penggunaan huruf jawi di papan tanda jalan-jalan di Kuala Lumpur.
"Saya menafikan dua tuduhan pertama kerana saya tidak pernah berbuat demikian," katanya.
Jelasnya, beliau membantah papan tanda jalan itu selepas penduduk Taman Seputeh sendiri marah pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila menukar papan-papan tanda itu sewenang- wenangnya awal tahun ini dengan alasan ia membazir wang awam.
"Saya agak terperanjat, tidak ada soalan lain ditanyakan kepada saya selain beberapa soalan utama ini," katanya, sambil menambah soalan-soalan ini boleh dikemukakan di balai polis tanpa perlu menahannya bawah akta kontroversi itu.
"Lagipun, tidak masuk akal bagi polis untuk menangkap saya bawah ISA semata-mata berdasarkan artikel tanpa asas yang ditulis oleh seorang penulis kolumn Utusan Malaysia?
"Bagaimana mereka (polis) boleh menganggap artikel itu sebagai kebenaran tanpa menyiasat penulis itu dulu?
"Bagaimana Utusan Malaysia boleh menerbitkannya tanpa mengesahkan fakta-faktanya?" kata Teresa.
"Saya berharap dapat bertanya polis sama ada mereka pernah memanggil (penulis artikel itu) Zaini Hassan dan editor-editor Utusan Malaysia untuk siasatan sebelum dan selepas penahanan saya."
Tambahnya, beliau telah membuat laporan polis terhadap akhbar itu, penulis kolum tersebut dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kelmarin bagi kesalahan jenayah fitnah.
"Oleh itu saya menggesa polis agar menyiasat editor-editor Utusan Malaysia, penulis-penulis blog yang bersifat perkauman itu dan Dr Mohamad Khir bawah Kanun Keseksaan."
Beliau juga mengulangi kesediaannya untuk mengambil tindakan saman terhadap ketiga-tiga pihak terbabit.
Teresa turut mendesak pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dibebaskan daripada ISA.
http://www1.malaysiakini.com/news/90055
Teresa tuntut Utusan bayar RM30 juta
Jimadie Shah Othman Sep 15, 08 8:28pm
Exco kanan kerajaan Selangor, Teresa Kok - yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - menuntut Utusan Malaysia menarik balik sebuah artikel yang didakwa memfitnah dan merosakkan nama baiknya.
Beliau turut meminta akhbar berkenaan menyiarkan permohonan maafnya dengan segera dan membayar ganti rugi sebanyak RM30 juta, termasuk kos.
Teresa hari ini melalui peguamnya Sankara Nair turut menuntut akhbar milik Umno itu agar tidak mengulangi kata-kata, tuduhan dan komen yang dibuat seperti dalam kolum 'Cuit' itu.
Pada 10 September lalu, Utusan Malaysia menyiarkan artikel berjudul 'Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya' (babi) yang menyebut "seorang YB wanita DAP yang berkaca mata" menasihatkan pengurusan sebuah surau supaya tidak melaungkan azan dengan kuat menggunakan pembesar suara, terutama pada waktu subuh.
Artikel Zaini Hassan itu mengulas kenyataan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dilaporkan berkata ''ada usaha oleh pihak tertentu (di Selangor) yang cuba menasihatkan pihak masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan'', dua hari sebelumnya dalam akhbar yang sama.
Menurut surat tuntutan itu, artikel tulisan pengarang kanan akhbar itu didakwa menggambarkan Teresa sebagai "bersifat perkauman, fanatik agama, tidak boleh dipercayai, ahli politik yang teruk, tidak boleh bertolak ansur, tidak berprinsip serta menentang Melayu dan Islam."
Surat itu yang dihantar petang tadi itu juga menyebut penyiaran artikel itu mendedahkannya kepada kebencian, cemuhan, diejek dan dipandang rendah.
Siaran artikel berkenaan, menurut surat itu lagi, pada prinsipnya dibuat untuk mencari publisiti murahan dan sensasi dan menyebabkan kerosakan serius pada nama baik dan perwatakannya.
Akhbar itu diberikan masa 24 jam untuk mengemukakan jawapannya sebelum dikenakan tindakan saman fitnah.
http://www1.malaysiakini.com/news/89773
No comments:
Post a Comment