Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang dibebaskan hari ini selepas ditahan selama tujuh hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana didakwa menahannya secara tidak sah.

Ia termasuk sama ada beliau telah menggerakkan penduduk Bandar Kinrara supaya mengemukakan petisyen berhubung isu laungan azan dan sama ada beliau ada berkata, peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) patut digunakan untuk agama-agama lain.
Isu ketiga ialah kenyataannya sebelum ini yang menentang tulisan jawi pada tanda jalan.
"Saya menafikan dua tuduhan pertama itu," kata ahli Parlimen Seputeh, yang dibebaskan tanpa syarat pada jam 1 tengahari.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang adalah antara pemimpin parti itu yang hadir sama di sidang akhbar Teresa itu.
"Saya menganggap penahanan saya itu sebagai satu helah oleh Umno untuk menutup rasa malunya terhadap kenyataan Ahmad Ismail yang berbaur perkauman," katanya merujuk kepada ketua Umno Bukit Bendera yang telah digantung jawatannya.

Teresa juga mahu polis menjalankan siasatan terhadap akhbar Utusan Malaysia dan kolumnis Zaini Hassan, yang menyiarkan dakwaan terhadapnya dalam isu tersebut.
Beliau mendakwa akhbar Utusan milik Umno itu yang mencetuskan kontroversi agama di kalangan umat Islam melalui sebuah artikel minggu lalu yang bertajuk 'Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya'.
Kolum tersebut, yang ditulis oleh editor kanan Zaini, membidas seorang ahli parlimen wanita yang tidak disebut namanya, yang pergi ke sebuah masjid dan menuntut supaya direndahkan bunyi pembesar suara sewaktu laungan azan.
Individu yang digambarkan oleh Zaini sebagai 'seorang ahli politik yang berkaca mata', bersikap perkauman dan chauvinis. Bagaimanapun, masjid berkenaan telah menafikan pembabitan Teresa.
Sementara itu, Lim mendakwa laporan polis yang dibuat terhadap Teresa dibuat oleh seorang 'operatif' dari MCA bahagian Puchong di Selangor.
http://www1.malaysiakini.com/news/90071
No comments:
Post a Comment