Friday, September 19, 2008

Pakatan akan bincang keengganan PM


Syed Jaymal Zahiid Sep 19, 08 6:30pm

Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan beberapa hari lagi untuk membincangkan keengganan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memanggil sidang khas Parlimen.

"Seperti yang dinyatakan oleh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) semalam, kita akan mengadakan satu mesyuarat dengan pemimpin Pakatan untuk membincangkan langkah seterusnya. Kita masih mahu melakukannya (ambil alih kuasa) mengikut Perlembagaan," kata Naib Presiden PKR, R Sivarasa kepada Malaysiakini.

Anwar mahu membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah di sidang khas Parlimen.

Permintaan Anwar itu dibuat mengikut Seksyen 11(3) Peraturan Tetap Parlimen yang menyatakan perdana menteri boleh memanggil sidang dewan jika wujud keperluan demi kepentingan awam.

Semalam, Abdullah menolak kemungkinan mengadakan sidang khas Parlimen dan telah meminta Anwar membangkitkan perkara yang berkaitan apabila dewan bersidang semula pada 13 Oktober.

Abdullah menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar semalam, tetapi Sivarasa berkata, Pakatan menunggu penolakan bertulis dari perdana menteri.

"Kita menyerahkan kepadanya (Abdullah) surat rasmi dan kita mengharapkan yang sama dari mereka. Kita mahu perdana menteri menulis secara terperinci mengapa beliau enggan memanggil sidang khas tersebut," tambahnya.

'Kita ada cukup MP'

Ahli Parlimen Subang itu mengulangi dakwaan Pakatan bahawa ia mempunyai jumlah ahli parlimen yang cukup, tetapi mereka tidak mahu didedahkan kerana bimbang diganggu.

'Jika beliau memanggil sidang khas, ia adalah cara yang paling mudah untuk melakukannya," tambah naib presiden PKR itu.

Ditanya mengapa, pada pendapatnya, Abdullah menolaknya, Sivarasa menjawab kerana beliau (Abdullah) bimbang dengan kemungkinan Pakatan mengambil alih kuasa.

"Saya rasa beliau memang tahu yang kita mempunyai jumlah (ahli parlimen) yang cukup dan beliau takut untuk menerima realitinya. Apa yang kita minta adalah sesuatu yang rasional dilakukan dan beliau kasar dalam jawapannya," kata Sivarasa.

Sebelum ini, Anwar mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, tetapi Abdullah menolaknya dengan alasan tidak ada sebab untuk beliau berbuat demikian.

http://www1.malaysiakini.com/news/90076

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...