Friday, September 19, 2008

Fairus mahu saman Siasah


Athi Veeranggan Sep 19, 08 3:58pm

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin mahu mengambil tindakan undang-undang tabloid Siasah yang mendakwa 'beliau terlalu malas untuk turun padang'.

Timbalan pengerusi PKR negeri itu berang dengan tabloid mingguan itu yang menyiarkan komentari tersebut minggu lalu, yang didakwanya telah menjejaskan kedudukannya.

"Tabloid itu hanya menyiarkan komentari tanpa menyemak kesahihan maklumat yang diterima dari sumber-sumbernya," kata Fairus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, kepada Malaysiakini.

"Sekurang-kurang ia patut menghubungi saya dan turut menyiarkan penjelasan saya. Ia satu percubaan untuk memburuk-burukkan kredibiliti, maruah dan integriti saya," katanya.

Fairus berkata, peguamnya sedang menyiapkan dokumen untuk mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Komentari Siasah itu dikatakan telah mendorong penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Fairus kerana "tidak melawat kawasan pilihanrayanya untuk menemui rakyat dan menyelesaikan masalah mereka".


Walaupun Anwar menimbulkan perkara itu dalam mesyuarat tertutup pemimpin PKR negeri hujung bulan lalu, tetapi ia telah dibocorkan dan dilaporkan secara meluas dalam akhbar tempatan.

Beliau percaya ia dibocorkan kepada akhbar oleh individu-individu tertentu dalam PKR yang mempunyai agenda tersembunyi.

"Laporan akhbar-akhbar berkenaan memberi gambaran seolah-olah Anwar dan pemimpin lain parti itu tidak menyenangi saya dan gaya saya.

"Pihak akhbar telah memberi gambaran yang salah sama sekali tentang diri saya," tambahnya.

Beliau turut membidas pihak media kerana tidak menyiarkan kerja-kerja yang telah dilakukannya di kawasan pilihanrayanya sejak enam bulan lalu.

Fairus berkata, beliau telah melaksanakan lebih 10 projek kecil dan projek kebajikan di kawasan pilihanrayanya, serta turun padang membantu penduduk yang terjejas dengan banjir baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, semua itu tidak mendapat perhatian pihak akhbar.

"Saya percaya beberapa individu cemburu dengan kejayaan saya pada usia yang muda.

"Jadi, mereka mengada-adakan cerita untuk memburuk-buruk saya," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mereka yang terbabit dalam kontroversi tersebut.

Fairus yang dianggap sebagai 'orang harapan Anwar', dilantik sebagai timbalan ketua menteri 1 dalam pentadbiran ketua menteri Lim Guan Eng selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Khabar angin tersebar Julai lalu bahawa Fairus tidak sehaluan dengan Anwar dan berhasrat untuk meletakkan jawatan timbalan ketua menteri.

Fairus bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mengecam mereka yang menyebarnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/90049

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...