Tuesday, October 21, 2008

'Cerpen tiada kaitan dengan Teresa'


Jimadie Shah Othman Oct 20, 08 4:09pm


kemaskini 5:06pm Cerpen 'Politik Baru YB J', yang mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita Cina, tidak kena-mengena dengan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti dakwaan DAP.

Penulisnya Datuk Chamil Wariya berkata cerpen itu "hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati."

"Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa cerpen awalnya itu "menganjurkan kekerasan dan bermain dengan api" kerana memuatkan babak pembunuhan ahli politik.

"Dalam cerpen saya ini, pembunuhan politik per se seperti yang didakwa tidak berlaku walaupun wataknya mungkin dimatikan. Apa yang berlaku adalah sekadar simbolik. Karya sastera tidak patut hanya dibaca yang tersurat, tetapi tersirat.

"Yang dibunuh sebenarnya adalah idea-idea yang melampau dan tidak hanya terbatas dalam politik tetapi melampaui politiknya.

"Cuma dalam kes cerpen ini, hanya latarnya politik. Bagi saya, saya tidak bermain dengan api, tetapi sebaliknya memainkan peranan sebagai air yang memadamkan api yang jika tidak dipadam akan terus marak," katanya dalam wawancara melalui e-mel.

Khamis lepas, DAP membuat laporan polis berhubung cerpen itu yang diterbitkan di Mingguan Malaysia, 12 Oktober lepas, dengan dakwaan ia ditujukan kepada Teresa, yang juga exco kanan kerajaan Selangor.

Seorang pemimpin Pemuda DAP menyifatkannya sebagai "satu bentuk keganasan politik" kerana "meletakkan undang-undang di tangan sendiri".

Sambil melabelkan karya itu "lebih teruk daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)", Chong Chieng Jen yang juga ahli parlimen Bandar Kuching membaca perenggan terakhirnya:

"YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan."

Chamil juga diminta mengulas pandangan tokoh utama DAP Lim Kit Siang di Dewan Rakyat minggu lepas yang menyifatkan 'Politik baru YB J' itu sebagai "tidak bertanggungjawab".

"Saya tidak setuju sama sekali jika dikatakan karya saya itu tidak bertanggungjawab. Dalam cerpen ini, terdapat juga segi-segi yang positif," katanya.

"Sebenarnya mesej saya dalam cerpen itu adalah mudah: Politik perkauman dalam bentuk yang melampau dan keterlaluan tidak sesuai dengan masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

"Ia boleh membawa malapetaka dan bencana. Pengajarannya adalah untuk kita menghindari pegangan politik seumpama itu. Tetapi tentulah saya tidak boleh menyekat pembaca apa lagi politikus veteran seperti saudara Lim untuk membuat tafsiran mereka sendiri."

Bekas pengarang kanan Utusan Malaysia itu juga tidak bersetuju dengan tanggapan pengarah filem terkenal Amir Muhammad yang menyifatkan cerpennya sejenis "kesasteraan yang menyebarkan kebencian."

Chamil, yang sebelumnya dikenali sebagai penganalisis politik nasional dan pengarang buku, berkata beliau kini memberi tumpuan kepada penulisan kreatif selepas meninggalkan dunia kewartawanan tahun lepas.

"Pada waktu yang sama sejak dulu lagi saya ingin berhijrah ke genre penulisan kreatif khususnya penulisan novel sebenarnya. Saya kira menulis cerpen adalah permulaan yang baik.

"Sepanjang bulan Ramadan lalu, saya memulakan usaha itu dan alhamdulillah telah menyiapkan tiga buah cerpen semuanya berlatarbelakangkan politik – dunia yang saya fikir saya kenali," katanya.



Berikut soal-jawab lengkap Malaysiakini dengan beliau melalui emel yang diterima petang ini.

Malaysiakini: Apakah pandangan Datuk apabila cerpen ini dikaitkan dengan Ahli Parlimen DAP?

Chamil Wariya: Saya ingin tegaskan bahawa cerpen 'Politik Baru YB J' hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah fictitious yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati.

Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu.

Latar belakang dalam 'Politik Baru YB J' mempunyai persamaan dengan perkembangan politik semasa dalam negara. Apakah pandangan Datuk terhadap perkembangan politik sekarang ini?

Latar belakang cerpen ini adalah mencerminkan senario politik negara bukan sahaja sekarang, tetapi sejak kita mencapai kemerdekaan lagi yang mencerminkan perhubungan kaum yang ada kalanya kelihatan tenang dan ada kalanya tegang.

Bagi sebuah negara berbilang kaum dan politiknya pula masih didominasi oleh parti-parti politik berasaskan kaum, apa yang berlaku itu adalah perkara biasa. Turun naik suhu politik memang senantiasa berlaku, bergantung kepada kedudukan parti-parti kerajaan dan pembangkang.

Bagi saya apa yang berlaku dalam politik Malaysia sekarang khususnya pasca Mac 2008 adalah bukti jelas bahawa demokrasi hidup segar bugar dan memperlihatkan raja dalam demokrasi adalah rakyat atau lebih tepat lagi pengundi. Itu adalah hakikat yang patut kita terima.

Apa yang mendorong Datuk menulis cerpen itu sedangkan Datuk lebih dikenali sebagai penulis rencana dan penganalisis politik yang disegani?

Sejak menyertai TV3 pada 1998, saya sudah lama bersara sebagai penulis rencana dan penganalisis politik akhbar. Tumpuan saya hanyalah kepada penulisan buku.

Selepas meninggalkan dunia kewartawanan pada akhir 2007, saya sekadar menjadi pemerhati dunia politik. Pada waktu yang sama sejak dulu lagi saya ingin berhijrah ke genre penulisan kreatif khususnya penulisan novel sebenarnya.

Saya kira menulis cerpen adalah permulaan yang baik.

Sepanjang bulan Ramadan lalu, saya memulakan usaha itu dan alhamdulilah telah menyiapkan tiga buah cerpen semuanya berlatar belakangkan politik – dunia yang saya fikir saya kenali. Saya masih belajar lagi.

Tetapi semuanya adalah cerita rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang hidup dan mati.

Pada pandangan Datuk wajarkah karya kreatif yang memuatkan babak pembunuhan ahli politik dihasilkan? Apakah benar ia boleh menganjurkan kekerasan dalam masyarakat? Datuk setuju jika tindakan Datuk menulis cerpen itu dikatakan sebagai "bermain dengan api"?

Dalam karya kreatif terserah kepada pengarangnya untuk menggunakan kebebasan berkarya bagi meneroka apa juga kemungkinan.

Bagi mereka persoalannya bukan apakah babak yang wajar atau tidak wajar dimuatkan, tetapi bergantung kepada jalan cerita dan impak dramatik yang ingin ditinggalkan.

Yang indahnya tentang karya fiksyen, yang barangkali tidak ada pada karya faktual, adalah kebebasan daya imaginasi penulis yang tidak disangka-sangka oleh audien.

Dalam cerpen saya ini, pembunuhan politik per se seperti yang didakwa tidak berlaku walaupun wataknya mungkin dimatikan. Apa yang berlaku adalah sekadar simbolik.

Karya sastera tidak patut hanya dibaca yang tersurat, tetapi tersirat. Yang dibunuh sebenarnya adalah idea-idea yang melampau dan tidak hanya terbatas dalam politik tetapi melampaui politiknya.

Cuma dalam kes cerpen ini, hanya latarnya politik. Bagi saya, saya tidak bermain dengan api, tetapi sebaliknya memainkan peranan sebagai air yang memadamkan api yang jika tidak dipadam akan terus marak.

Saya juga tidak menghasut budaya politik keganasan. Apa yang ingin dibayangkan adalah sekiranya politik perkauman keterlaluan dibiarkan bermaharaja lela, politik akan berdepan dengan perkembangan yang tidak sihat.

Kekerasan dalam masyarakat tidak bergantung kepada apa yang dibaca dalam cerpen atau karya-karya kreatif yang lain. Masyarakat pembaca sebenarnya bijak.

Mereka pengguna sastera yang aktif yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Jika ada yang beranggapan saya bermain dengan api, itu adalah pandangan yang simplistik dan dangkal.

Punca kekerasan dalam masyarakat lazimnya datangnya antara lain apabila berlaku ketidakadilan, kekejaman, penindasan, peminggiran, kezaliman dan sebagainya.

Dalam banyak hal yang bermain dengan api selalunya adalah orang-orang politik itu sendiri, bukan karyawan sastera atau kreatif. Itu sebabnya selalu dinyatakan sasterawan adalah conscience masyarakat.

Budayawan terkenal Dinsman menyifatkan karya Datuk itu sebagai "berjaya sehingga orang yang tidak pernah bercakap tentang cerpen pun bercakap tentangnya". Apa komen Datuk?

Saya menghormati pandangan saudara Dinsman itu kerana beliau adalah insan seni dan budayawan yang terbilang. Saya juga mengagumi karya-karya kreatif yang telah dihasilkannya, baik cerpen atau sajak.

Dinsman adalah antara sasterawan terbaik yang telah dilahirkan di negara ini. Pengamatannya amat tajam, nalurinya cukup sensitif dan dia berani. Saya berterima kasih kepadanya dan menghargai komentar yang telah dikemukakan oleh beliau.

Saya baru berkarya dan sama ada ia berjaya atau sebaliknya bukan saya menilainya. Saya serahkan kepada umum, terutama mereka yang arif untuk membuat penilaian.

Saya cuma berharap karya kreatif saya yang pertama itu diterima dengan positif, diiringi dengan kritik-kritik yang membina untuk saya jadikan panduan bagi terus berkarya.

Ahli parlimen DAP Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyifatkan karya itu sebagai "tidak bertanggungjawab". Apa pandangan Datuk?

Saya tidak setuju sama sekali jika dikatakan karya saya itu tidak bertanggungjawab. Dalam cerpen ini terdapat juga segi-segi yang positif.

Sebenarnya mesej saya dalam cerpen itu adalah mudah: politik perkauman dalam bentuk yang melampau dan keterlaluan, tidak sesuai dengan masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

Ia boleh membawa malapetaka dan bencana. Pengajarannya adalah untuk kita menghindari pegangan politik seumpama itu. Tetapi tentulah saya tidak boleh menyekat pembaca apa lagi politikus veteran seperti saudara Lim (Kit Siang) untuk membuat tafsiran mereka sendiri.

Setiap kita mempunyai mindset dan pendirian masing-masing terhadap pelbagai perkara. Sesetengah kita hanya boleh melihat apa yang secocok dengan jiwanya.

Sesuatu yang tidak sealiran dengan mereka dengan mudah ditohmahkan sebagai tidak bertanggungjawab. Itu adalah hak masing-masing.

Inilah demokrasi dan kebebasan meluahkan perasaan yang dijunjung oleh masyarakat sivil di mana juga.

Pengarah filem Amir Muhammad pula menyifatkan karya Datuk sebagai "kesusasteraan yang menyebarkan kebencian" (hate literature). Apakah Datuk setuju dengan tanggapan itu?

Saudara Amir berhak untuk mempunyai pendapatnya sendiri. Saya menghormati karya-karya beliau dalam bidang perfileman, walaupun ada pihak tidak senang dengan karya-karya yang beliau ketengahkan.

Apa yang dihasilkan oleh beliau memeriahkan dan mempelbagaikan khazanah kesusasteraan negara.

Saya tidak pernah memandang rendah terhadap kerja-kerja saudara Amir. Tapi saya tidak melihat cerpen saya itu sebagai hasil kesusasteraan yang menyebarkan kebencian.

Saya adalah seorang yang cintakan kedamaian dan keamanan. Dalam cerpen saya itu, nilai-nilai itulah yang secara halus cuba saya ketengahkan.

http://www1.malaysiakini.com/news/91631

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...