Tuesday, October 21, 2008

UPM siasat isu 2 siswi dibuang kolej

Jimadie Shah Othman Oct 17, 08 4:33pm

Universiti Putra Malaysia (UPM) kini sedang menyiasat dakwaan dua pelajar cemerlangnya yang dibuang secara mengejut dari kolej kediaman, hanya kira-kira seminggu sebelum peperiksaan akhir semester bermula, Selasa depan.

Siasatan perkara itu, yang didedahkan Malaysiakini semalam, dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni.

"Biasanya dalam tempoh 24 jam kita boleh dapat penjelasan. Penjelasan daripada pengetua (kolej) dijangka petang ini. Selewat-lewatnya esok," kata sumber-sumber pentadbiran UPM.

Difahamkan, kes-kes penyingkiran dari asrama biasanya berhubung beberapa kesalahan seperti pergaduhan, berkelakuan sumbang dan merosakkan harta benda asrama.

Usaha mendapatkan penjelasan pengetua Kolej Tun Perak, profesor madya Dr Jasni Sabri sejak semalam masih belum berhasil.

Sementara itu, ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendesak kolej berkenaan mempertimbangkan semula keputusannya dan mengambil sikap bertolak ansur.

"Seharusnya pelajar berkenaan diberikan peluang untuk berbincang dan bukan terus dihalau keluar," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ketua Wanita PKR berkata, tindakan UPM boleh mempengaruhi keputusan peperiksaan kedua-dua pelajar berkenaan.

Tindakan kolej memberi kata dua kepada pelajar terbabit supaya mengosongkan bilik atau dikenakan tindakan tatatertib, dan mengancam menyita barang-barang disifatkannya "tidak munasabah."

Kelmarin, dua pelajar wanita yang menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan eksklusif pelajar cemerlang diarahkan meninggalkannya, sehari selepas notis rasmi dikeluarkan.

UPM menyatakan, kedua-duanya berada di kolej itu "secara tidak sah" dan "tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej".

Mereka berdua, seorang daripadanya exco Persatuan Mahasiswa Islam UPM, diarahkan mengosongkan bilik kediaman mereka di Blok Lekir mulai 10 pagi.

"Jika saudari mengingkari arahan ini, saudari boleh boleh dikenakan tindakan tatatertib dan pihak kolej berhak menyita barang-barang di dalam bilik tersebut," surat arahan bertarikh 14 Oktober dipetik.

Difahamkan, kedua-duanya menetap di kolej itu sejak awal semester ini setelah pengurusan kolej meluluskan permohonan mereka.

Pada asalnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai penghuni kolej itu semasa pendaftaran semester ini, awal Julai lalu, walaupun dimaklumkan mendapat tempat seminggu sebelumnya.

Hasil perbincangan dengan pentadbiran kolej, mereka akhirnya dibenarkan tinggal.

Namun, Jumaat minggu lepas, selepas menginap lebih tiga bulan di asrama berkenaan, pintu bilik mereka telah dikunci oleh pengurusan kolej tanpa sebarang notis rasmi.

Borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) turut diselitkan bagi menyatakan mereka harus mencari kediaman di luar UPM.

Mereka bagaimanapun tidak mengisi borang itu kerana tidak berminat berbuat demikian.

Kedua-dua pelajar perempuan itu difahamkan sekarang menumpang di rumah seorang rakan di Seri Serdang, taman perumahan bersebelahan kampus tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/91472

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...