Tuesday, October 21, 2008

Pemuda MCA: Kaji semula dominasi Umno dalam BN


Ng Ling Fong Oct 17, 08 12:09pm

Pemuda MCA hari ini mahu kedudukan dominan Umno dalam Barisan Nasional dikaji semula.

Ketika membuat gesaan tersebut, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai berkata, ini boleh dilakukan dengan menambah satu lagi jawatan timbalan pengerusi BN.

Pada masa ini, pengerusi Dewan Tertinggi BN ialah presiden Umno yang juga perdana menteri.


Manakala, kini hanya ada satu sahaja jawatan timbalan pengerusi BN, yang juga disandangkan timbalan presiden Umno.

Jawatan-jawatan utama yang lain seperti setiausaha agung, ketua Pemuda dan ketua Wanita turut dibolot oleh Umno.

Liow menyarankan, jawatan timbalan tambahan itu disandang oleh wakil dari MCA, sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN.

Liow menyarankan demikian ketika berucap di perhimpunan agung Pemuda MCA ke-45, di ibunegara hari ini.

Liow tidak bertanding jawatannya kali ini dan ketua baru Pemuda MCA ialah Datuk Wee Ka Siong.

Liow yang sebelum itu berucap dalam bahasa Mandarin, kemudiannya mengulangi gesaaannya itu dalam bahasa Malaysia.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naibnya, Khairy Jamaluddin.

Tindakan Liow dilihat satu langkah ketelusan kerana perkara itu tidak disebut langsung dalam teks asalnya dalam Bahasa Malaysia yang diedarkan kepada pihak media.

Menurut Liow lagi, sekiranya tidak ada MCA, maka tidak akan ada gabungan Perikatan yang dianggota oleh tiga parti - Umno, MIC dan MCA.

Jika tiada Periktan, katanya, maka tiadalah wujud BN hari ini

"Oleh itu, MCA sepatutnyalah memegang jawatan timbalan presiden BN

"Malah, setiausaha, bendahari BN boleh disandang oleh anggota dari parti komponen lain, tidak semestinya dari Umno sahaja," katanya.

Selain meminta proses pembuat keputusan distruktur semula, beliau juga menyarankan agar sumber-sumber BN supaya diagih secara sama rata.

"Dulu Umno mendominasi semua sumber BN, dari peringkat pusat hingga bahagian, ini perlu dibawa untuk berbincang dalam agenda BN.

"Hanya dengan itu, rakyat akan melihat bahawa BN komited dan bersedia untuk berubah," katanya.

Reaksi Hishammuddin

Sementara itu, Hishammuddin yang juga pengerusi Pemuda BN, berkata cadangan Pemuda MCA supaya BN mewujudkan jawatan timbalan pengerusi kedua, perlu dikaji dan dibincangkan dengan mendalam oleh semua parti komponen BN.

"Saya baru dengar cadangan itu pagi tadi dan terpulanglah kepada saya untuk memutuskannya. Kita terbuka untuk semua. Kita telah dengar mengenai penyertaan terus bagi mereka yang tidak mahu menyertai mana-mana parti komponen, terus menganggotai BN dan kini cadangan ini.

"Kita sepatutnya membincangkan idea ini. Bagi saya tidak ada formula tertentu. Kita hendaklah dengar pandangan semua parti. Dalam beberapa bulan, perhimpunan agung Umno akan diadakan dan saya pasti ada juga cadangan daripada perwakilan dan pemimpin mengenai cara-cara untuk mengukuhkan BN," katanya kepada pemberita menghadiri majlis perasmian perhimpunan tersebut.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata jika cadangan itu akan diterima, ketika itulah BN akan melalui perubahan

"Tetapi saya hargai MCA. Mereka belum lagi mengatakan bahawa mereka akan keluar BN. Pada hakikatnya mereka komited kepada BN dan mahu BN lebih kuat. Sebab itu mereka buat cadangan ini.

"Ini juga menunjukkan dedikasi mereka kepada campuran. Mereka sedia menghadapi cabaran dengan BN dalam apa jua keadaan. Mereka dengan kita dalam keadan senang dan sukar," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91433

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...