Oct 20, 08 5:36pm
Pakatan Rakyat mengecam Utusan Malaysia dengan mendakwa ia "mempromosikan keganasan dan mengapi-apikan sentimen perkauman" susulan penerbitan cerpen kontroversi mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita Cina.
'Politik Baru YB J' karya Datuk Chamil Wariya yang diterbit 12 Oktober lepas itu juga didakwa sebagai serangan peribadi terhadap ahli parlimen DAP Teresa Kok.
Dalam kenyataan bersama oleh tiga pemimpin PKR, DAP dan PAS, mereka turut menyifatkan cerpen itu sebagau "usaha berterusan Umno untuk menjadikan exco kerajaan Selangor itu sebagai sasaran untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan menimbulkan ketegangan di antara kaum."
"Utusan Malaysia telah diboikot oleh Pakatan Rakyat sejak Jun tahun ini atas sebab pelaporannya yang biased dan sering mempermainkan isu perkauman," kata bendahari PAS Dr Hatta Ramli, ketua penerangan PKR Tian Chua dan ketua Pemuda DAP Anthony Loke hari ini.
"Namun kini Utusan Malaysia bukan sahaja menyebarkan kebencian sesama kaum, tetapi sehingga ke tahap menggalakkan keganasan melalui karya cerpen.
"Ini merupakan perkembangan yang amat membimbangkan."
Pakatan Rakyat juga mendesak akhbar harian itu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyiarkan cerpen tersebut.
"Maka kami menyeru agar masyarakat umum memboikot Utusan Malaysia sehingga media arus perdana tersebut berhenti daripada mempermainkan isu ini," kata mereka.
Tambah gabungan pembangkang itu, kebebasan berkarya harus selari dengan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama iaitu tanpa menggugat perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.
Sementara itu, Chamil menafikan cerpen itu ditujukan kepada Teresa dan menyatakan beliau "tidak bermain dengan api" apabila mencipta watak yang menyarankan pembunuhan seorang ahli parlimen.
Dalam jawapannya kepada Malaysiakini hari ini, penulis itu berkata ia "hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati."
"Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu," katanya.
"Dalam cerpen saya ini, pembunuhan politik per se seperti yang didakwa tidak berlaku walaupun wataknya mungkin dimatikan. Apa yang berlaku adalah sekadar simbolik.
"Karya sastera tidak patut hanya dibaca yang tersurat, tetapi tersirat.
"Yang dibunuh sebenarnya adalah idea-idea yang melampau dan tidak hanya terbatas dalam politik tetapi melampaui politiknya."
http://www1.malaysiakini.com/news/91638
No comments:
Post a Comment