Jimadie Shah Othman Oct 18, 08 9:14am
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak tanggapan bahawa Umno telah mendominasikan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).
Berucap merasmikan perhimpunan agung k-55 MCA di ibunegara hari ini, Abdullah yang presiden Umno dan pengerusi BN berkata, tidak timbul soal Umno jadi pembuli dalam BN.
Berucap merasmikan perhimpunan agung k-55 MCA di ibunegara hari ini, Abdullah yang presiden Umno dan pengerusi BN berkata, tidak timbul soal Umno jadi pembuli dalam BN.
"Saya tidak reti buli orang, tak ada buli, sesama sahabat mana ada buli," tegas beliau dalam reaksinya terhadap ucapan presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengenai perkara itu sebelumnya.
Dalam ucapannya, Ong berkata, terdapat persoalan yang dibangkitkan mengenai konsep perkongsian kuasa dalam BN kerana Umno dilihat mendominasi parti-parti lain dalam BN
"Kalau betul berlaku pembulian oleh Umno, mestilah pemimpin lain dalam BN dan rakan-rakan komponen lain, akan bercakap mengenai perkara ini," tambahnya.
Antara tetamu yang hadir di majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak serta pemimpin parti-parti komponen BN yang lain.
Dalam ucapannya, perdana menteri turut menyentuh tentang peranan penting MCA dalam BN.
MCA rakan baik
Abdullah menyifatkan MCA sebagai rakan lama dan mempunyai hubungan yang baik dengan Umno.
"Walaupun dalam pilihanraya lepas, MCA tidak mendapat keputusan yang memberangsangkan, tapi kuota dalam kabinet telah diberi penuh kepada MCA," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penyertaan MCA perlu dalam BN tetapi beliau mengakui ada masalah dan kesilapan yang memang terjadi.
Abdullah turut mengulas soal reformasi dalam bidang kehakiman, anti-rasuah dan penambahbaikan pasukan polis, yang dibangkitkan oleh Ka Ting dalam ucapannya.
"Ini adalah janji-janji kita dalam manifesto (pilihanraya umum) 2004. Walaupun masa saya singkat, ia akan dibawa ke Parlimen, dan akan disokong penuh oleh timbalan saya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.
Mengulas mengenai pemilihan pucuk pimpinan MCA hari ini, Abdullah berkata, beliau senang hati dengan kepimpinan MCA sekarang.
"Siapa pun, saya senang hati untuk bekerjasama...," tambahnya.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, perdana menteri, soal buli ditimbulkan oleh pembangkang yang ingin memberi persepsi tersebut terhadap BN.
Tetapi, tambahnya, bagi kepimpinan BN, mereka faham, sentiasa baik dan sentiasa berkerjasama.
Konvensyen BN
Oleh itu, katanya, soal Umno membuli parti-parti komponen BN yang lain hanyalah satu persepsi.
Abdullah turut diminta mengulas cadangan Pemuda MCA supaya diwujudkan satu lagi jawatan timbalan pengerusi BN.
Ditanya sama ada ia akan dibincangkan dalam mesyuarat BN, Abdullah berkata, ia isu besar dan akan dibincangkan dalam konvensyen BN tidak lama lagi.
"Apa jua pandangan yang dikemukakan, akan dibincangkan dalam konvensyen BN.
"Apa pun juga, pada dasarnya, kita boleh berbincang..cadangan lain (yang akan dibincangkan di konvensyen tersebut) saya belum tahu, tapi kita akan ambil kira," tambahnya.
Penahanan aktivis Suaram
Perdana menteri turut ditanya mengenai penangkapan aktivis hak asasi, Cheng Lee Whee dari Suaram di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malam tadi.
Cheng, seorang sukarelawan wanita di sekretariat Suaram Johor Bahru ditahan menurut Seksyen 28 pada 10.45 malam tadi.
Beliau dipercayai disiasat berhubung aduannya berkaitan perobohan rumah di Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru kelmarin.
Berikutan itu, para wartawan bertanya kepada Abdullah sama ada kerajaan sedang menggunakan ISA.
"Kita guna ISA tapi bagi saya, mestilah berhati-hati dan tidak ada unsur salahguna kuasa," kata Abdullah sambil menegaskan bahawa beliau bercakap sebagai orang yang prnah menjadi menteri dalam negeri.
Abdullah berkata, ISA bukan tidak boleh dipakai, kerana ianya juga digunakan di negara-negara lain.
Ditanya sama ada ISA akan disemak semula, Abdullah berkata, pada masa ini, ia tidak akan disemak semula.
Ketika ditanya mengenai Hindraf pula, perdana menteri berkata: "Keputusan sudah dibuat, ia adalah satu pertubuhan yang tidak sah, tidak ada makna saya bercakap banyak."
http://www1.malaysiakini.com/news/91510
No comments:
Post a Comment