Tuesday, October 21, 2008

Kabinet setuju PAC teliti pembelian helikopter

Oct 19, 08 6:47pm
Kabinet bersetuju supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan helikopter Nuri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, sekalipun Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Abu Bakar Abdullah telah membuat kenyataan sebelum ini bahawa proses perolehan helikopter itu dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, namun perkara itu tetap wajar dikaji secara mendalam oleh PAC.

"Dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lepas, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter ini dikemukakan untuk dihalusi oleh PAC dan dikaji dengan mendalam oleh PAC dan PAC boleh membuat kesimpulan," katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Najib yang juga menteri kewangan berkata PAC akan memperhalusi segala proses pembelian berhubung tender bagi pemerolehan helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri itu.

Sebelum ini, dalam suratnya kepada Najib, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim berkata pihaknya difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter.

Isu berhubung penggantian helikopter Nuri itu bermula selepas mesyuarat Kabinet pada 18 Julai 2007 bersetuju agar Nuri ditukar berikutan rungutan beberapa ahli Parlimen dan masyarakat umum berhubung helikopter jenis itu sering terlibat dalam nahas udara yang mengorbankan anggota tentera.

Sejak digunakan 39 tahun lalu, sebanyak 14 buah helikopter Nuri dilaporkan terhempas dan mengorbankan 107 nyawa anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ekoran rungutan itu, Tentera Udara Diraja Malaysia telah menyediakan dokumen spesifikasi helikopter utiliti berkeupayaan mencari dan menyelamat (SAR) dan boleh dipertingkatkan keupayaan kepada SAR pertempuran.

Pada 10 Oktober 2007, Unit Perancang Ekonomi memberikan kelulusan untuk membeli pesawat baru menggantikan Nuri.

Satu tender terbuka antarabangsa telah diumumkan pada 7 November 2007 bagi membolehkan pembuat, pembekal dan ejen mengambil bahagian dalam tender tersebut.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan telah menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan kementerian itu mengeluarkan Surat Niat kepada Eurocopter pada 15 September 2008.

http://www1.malaysiakini.com/news/91578


Helikopter TUDM dibeli ikut prosedur
Oct 17, 08 9:58pm
Kementerian Pertahanan menafikan perolehan helikopter Eurocopter Cougar EC-725 melalui proses yang meragukan dan luar kebiasaan seperti dakwaan sebuah syarikat baru-baru ini.

Dalam kenyataannya hari ini, ketua setiausaha kementerian itu Datuk Abu Bakar Abdullah menyatakan perolehan itu mengikut peraturan seperti ditetapkan, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Menurut Bernama, Abu Bakar berkata keputusan perolehan Eurocopter berdasarkan tawaran lengkap oleh syarikat berkenaan dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal dan ofset pada harga munasabah.

"Eurocopter juga menawarkan sistem yang terbukti dan memenuhi spesifikasi ketenteraan.

"Adalah menjadi tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini berhubung perkembangan teknologi semasa helikopter yang memenuhi keperluan operasi ketenteraan di pasaran," katanya.

"Penilaian juga mengambil kira kesesuaian penggunaan dan persekitaran operasi di Malaysia dan kawasan konflik di serata dunia. TUDM memang mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter terkini yang berada di pasaran."

Tambahnya, lapor agensi berita itu lagi, tender antarabangsa dibuka 6 Disember lepas ketika LIMA 2007 dan TUDM memberi penjelasan mengenai aspek teknikal dan operasi pesawat.

"Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Feb tahun ini dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian," kata Abu Bakar.

Daripada tujuh tawaran yang diterima dan senarai harga
(termasuk penghantaran), Eurocopter menawarkan Euro 233,345,390.

"Dokumen-dokumen ini seterusnya dibahagikan kepada tiga kumpulan dan disenaraikan untuk penilaian Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaiaan Offset dan Jawatankuasa Penilaian Harga," katanya dalam kenyataan itu.

Rumusan ketiga-ketiga jawatankuasa dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Tender A pada 22 Julai lalu dan seterusnya diperakukan kepada Kementerian Kewangan pada 4 Ogos lepas, tambahnya.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

Tambahnya, LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 Sept.

Pembelian helikopter baru ini diputuskan oleh kabinet Julai tahun lepas bagi menggantikan pesawat Nuri, setelah prestasi pesawat itu mendapat rungutan ramai pihak.

http://www1.malaysiakini.com/news/91492

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...