Wednesday, December 24, 2008

Cikgu kena tipu


Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita tidak menyangka menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menyamar pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kononnya mampu mendapatkan komputer riba model terbaru yang dirampas dengan harga murah.

Guru sebuah sekolah menengah di Cheras di sini terpedaya dengan lakonan suspek apabila menyerahkan wang RM1,000 sebelum lelaki berkenaan yang kononnya mahu mengambil barang terbabit lesap.

Menurut sumber, mangsa berusia 30-an itu pada mulanya secara tidak sengaja terserempak dengan lelaki terbabit di kedai buku di sekolah berkenaan pada jam 12 tengah hari Rabu lalu dan menawarkan komputer riba model terbaru dengan harga murah.

“Kerana berminat, mangsa bersetuju membeli komputer riba berkenaan dan berjanji dengan lelaki itu untuk berjumpa empat jam kemudian pada hari sama,” katanya kepada Harian Metro.

Sumber itu berkata, mereka berjumpa di sebuah bank di Bangsar di sini dan guru berkenaan langsung tidak mengesyaki dia ditipu oleh lelaki terbabit.

“Ketika berjumpa, suspek meminta mangsa membayar wang terlebih dulu sebelum dia mengambil komputer riba itu di tempat lain.

“Mangsa yang tidak mencurigai apa-apa termakan dengan helah lelaki terbabit lalu membayar RM1,000 kepada suspek,”
katanya.

Katanya, suspek menyuruh mangsa menunggunya di bank itu sementara dia mengambil komputer riba dijanjikan

“Namun, selepas hampir sejam menunggu, bayangnya masih tidak kelihatan sebelum mangsa menyedari dia ditipu lalu cuba menghubungi telefon bimbit mangsa, namun ia tidak diangkat.

“Mangsa yang hampa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Razak di sini sebelum menghantar SMS kepada suspek memaklumkan mahu membuat laporan polis jika tidak memulangkan wangnya,”
katanya.

Menurut sumber, mangsa terkejut kerana lelaki terbabit menghubunginya selepas dia menghantar SMS untuk membuat laporan polis dan meminta nombor akaun bank untuk memindahkan wang RM1,000 berkenaan.

“Tapi, mangsa sekali lagi hampa selepas wang pindahan dijanjikan lelaki pembohong itu tidak ada dalam akaun banknya.

“Mangsa yang merasa ditipu dan risaukan keselamatan dirinya membuat laporan pada Khamis lalu di Balai Polis Travers,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081224090103/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...