Wednesday, December 24, 2008

Gaji kecil bukan punca polis rasuah


Dec 23, 08 7:52pm

Gaji kecil anggota polis bukan penyebab timbulnya gejala rasuah di kalangan pasukan keselamatan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

"Bukankah gaji sudah naik, mahu naik apa lagi? Gaji yang kita terima sekarang cukup, tidak timbul isu rasuah kerana dakwaan gaji polis kecil.

"Kasihan pada kerajaan... kita sepatutnya bekerja lebih keras dan tunjuk usaha kita, bukan asyik meminta gaji lebih,"
Musa dipetik berkata hari ini.

Beliau mengulas kenyataan senator Datuk Gooi Hue Hin semalam yang mendakwa gaji kecil dan tidak setaraf dengan perjawatan lain menjadi antara faktor berlakunya gejala rasuah dalam perkhidmatan awam termasuk polis.

Musa berkata pendapatan yang diperolehi anggota polis kini dapat menampung perbelanjaan seharian.

"Nasihat saya pada anggota agar jangan sesekali meniru gaya hidup orang lain dan sepatutnya mengukur baju di badan sendiri.

"Kalau tahu bagaimana menjaga ekonomi dalam perbelanjaan seharian, ia sudah cukup dan memadai tetapi kalau boros dan berbelanja mengikut nafsu, bergaji RM10,000 pun tidak tentunya cukup,"
katanya seperti dilaporkan Bernama.

Justeru Musa meminta pegawai dan anggota polis agar tidak mendesak kerajaan menaikkan lagi gaji berikutan kemelesetan ekonomi sekarang.

"Ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan bantuan justeru anggota polis khasnya perlu bersyukur dengan jumlah pendapatan yang dinikmati mereka sekarang," katanya.

Gaji baru yang distruktur semula bagi jawatan konstabel - sebelum ini hanya kira-kira RM600 - kini mencecah RM1,500 dicampur dengan imbuhan tetap, katanya.

Dengan pendapatan yang setimpal itu tidak sewajarnya anggota polis terbabit dengan gejala rasuah dan PDRM akan bertindak tegas terhadap individu yang terlibat dalam gejala rasuah, tambahnya.

Gooi ketika sesi perbahasan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Negara semalam mendakwa gejala tersebut akibat gaji yang kecil sehingga sukar ditangani.

http://www1.malaysiakini.com/news/95364

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...