Wednesday, December 24, 2008

Mazidul mengaku lafaz cerai selepas bertengkar


MESRA...Mazidul bersama isterinya, Khairul Fazlin berbual
di luar mahkamah, semalam.


PETALING JAYA: Wartawan penyiaran yang juga pengacara rancangan 360 darjah dan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, Mazidul Akmal Sidik, 41, memberitahu Mahkamah Syariah di sini, semalam, dia ada melafazkan cerai kepada isterinya pada 13 Oktober lalu.

Mazidul berkata, lafaz cerai itu dibuat pada 11.30 malam di rumahnya selepas berlaku pertengkaran dan mengetahui isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin, 38, menghubungi keluarga mentuanya.

“Saya fikir...saya ingin menyelesaikan masalah bersama isteri tanpa membabitkan orang lain.

“Ketika kejadian, saya berada dalam keadaan waras dan sedar apabila melafazkan cerai itu kepada isterinya,”
katanya

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Syarie Ghazali Ahmad berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan isterinya.

GHAZALI: Setuju berhubung lafaz cerai yang didakwa isteri kamu?

MAZIDUL: Ya.

GHAZALI: Apa lafaz cerai itu?

MAZIDUL: Kalau dia orang datang, I (saya) ceraikan you (awak).

GHAZALI: Berapa kali kamu melafazkan cerai itu?

MAZIDUL: Sekali.

GHAZALI: Adakah kamu sedar ketika berbuat demikian.

MAZIDUL: Sedar, tetapi dalam keadaan marah.

GHAZALI: Dalam keadaan waras?

MAZIDUL: Insya-Allah waras.

GHAZALI: Apa yang dimaksudkan dia orang dalam lafaz cerai itu?

MAZIDUL: Dia orang adalah ibu dan bapa mentua...setiap kali ibu mentua datang pada waktu malam, dia tidak datang berseorangan, mesti ada bapa mentua. Jadi saya maksudkan ibu dan bapa mentua dan tidak sangka ada orang lain.

Selain itu, Mazidul memberitahu mahkamah dia sudah rujuk kembali dengan isterinya pada 27 Oktober lalu.

Sementara itu, Khairul Fazlin memberitahu mahkamah dia tertekan selepas berlaku pergaduhan dan menghubung ibunya supaya datang ke rumah.

Menurutnya, Mazidul yang berada di ruang tamu melafazkan cerai itu selepas dia membuat panggilan berkenaan.

Khairul Fazlin turut menafikan Mazidul ada menyebut perkataan talak ketika melafazkan cerai itu.


Mahkamah menetapkan 21 Januari tahun depan untuk keputusan pengesahan lafaz cerai itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081224094130/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...