Wednesday, December 24, 2008

Kaji semula harga minyak pelincir

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berunding dengan semua syarikat minyak tempatan untuk mengkaji semula harga produk minyak pelincir yang dijual di pasaran supaya selari dengan penurunan harga minyak yang diumumkan, baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata langkah penurunan harga berkenaan perlu kerana ia membantu meringankan beban pengguna terutama yang menggunakan kenderaan.

“Selepas penurunan harga minyak di pasaran, kerajaan kini sudah mula berunding dengan pengeluar untuk bersama-sama menurunkan harga minyak pelincir pada tahun depan yang sekali gus meringankan beban pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Stesen Shell Tiram Wawasan Enterprise di Kuala Lumpur, semalam.

Shahrir berkata, perbincangan berkenaan membabitkan dua fasa iaitu sektor peruncitan dan maklum balas pengguna.

Beliau berkata, selain penurunan harga petrol untuk meringankan beban pengguna kenderaan, kerajaan turut bercadang memperkenalkan minyak petrol RON95 yang akan dijual pada harga lebih murah berbanding RON97.

Untuk pengguna kenderaan diesel pula katanya kerajaan akan memperkenalkan minyak baru yang lebih berkualiti iaitu EURO2M.

“Kerajaan menerima maklum balas pengguna kenderaan berenjin diesel berhubung kualiti minyak diesel diperkenalkan di negara ini dan hasilnya kita akan menambah satu lagi minyak diesel yang berkualiti iaitu EURO2M sebagai pilihan kepada pengguna mulai tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Datuk Mohzani Abdul Wahab berkata pihaknya bersedia menurunkan harga minyak pelincir di pasaran bagaimanapun, butiran lanjut mengenainya tidak boleh diumumkan.

Menurutnya, Shell kini sudah memberikan diskaun kepada semua pelanggannya untuk membeli harga minyak pelincir pada harga menarik.

Untuk 2009, katanya, syarikat itu akan terus memperkukuhkan kedudukannya dengan menambah 40 lagi cawangan baru ke seluruh negara.

“ Shell adalah peneraju pasaran runcit petroleum di negara ini dan kami mempunyai rangkaian stesen terbesar, awal tahun ini kami sudah mengumumkan rancangan membuka 40 lagi stesen dan pelancaran hari ini yang ke-38 bagi tahun ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081224092156/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...