Wednesday, December 24, 2008
Usaha bawa balik 30,000 rakyat tinggal lebih tempoh di Britain
KUALA LUMPUR: Usaha sedang dilaksanakan bagi membolehkan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia yang dilaporkan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Britain kembali ke tanah air.
Seorang pegawai Kementerian Luar di Putrajaya berkata, tumpuan utama usaha itu membekalkan maklumat serta bimbingan dan menggesa mereka kembali ke Malaysia sebelum pihak berkuasa Britain mengambil tindakan lanjut.
Beliau yang enggan mendedahkan identitinya berkata, perkara ini sedang dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London bagi membantu mereka kembali ke tanah air.
“Mereka tinggal melebihi tempoh dibenarkan adalah perbuatan salah. Kami beritahu mereka mengenai akibatnya (jika tinggal lebih dari tempoh),” katanya.
Menurutnya, Kementerian Luar dan pihak berkuasa British sedang berbincang cara terbaik mengenal pasti berapa ramai mereka yang sudah kembali ke tanah air.
Selain itu, beliau berkata, perbincangan juga sedang berlangsung antara pihak berkuasa berkaitan berhubung cara terbaik mengelak daripada masalah sama berulang pada masa hadapan.
Ketika ini pelawat dari Malaysia ke Britain menikmati perjalanan bebas visa selama enam bulan, dan kumpulan yang memerlukan visa ketika ini adalah di kalangan yang merancang untuk tinggal lebih lama dari tempoh enam bulan, sama ada untuk belajar atau bekerja.
Bulan lalu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, kira-kira 271,000 rakyat Malaysia memasuki Britain setiap tahun.
Atase imigresen di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Zahari Abdul Aziz sebelum ini berkata, mereka yang tinggal lebih tempoh dibenarkan di Britain, sebaik saja kembali, mereka tidak akan dibenarkan memohon pasport baru dalam tempoh dua tahun. - Bernama.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223083527/Article/index_html
No comments:
Post a Comment