Wednesday, December 24, 2008
Hapus pelacur mak nyah pada 2013
ALOR STAR: Aktiviti pelacuran mak nyah atau pondan di sekitar Stesen Keretapi Alor Star di sini, yang berleluasa sejak 20 tahun lalu, mampu ditangani apabila pembinaan landasan kereta api berkembar siap pada 2013.
Datuk Bandar Alor Star, Datuk Khazali Din, berkata pembinaan landasan berkembar itu menyebabkan lebih 300 premis di kawasan berkenaan dirobohkan termasuk pondok haram yang dijadikan sarang maksiat golongan terbabit.
“Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) juga sudah membersihkan kawasan itu kerana difahamkan kumpulan berkenaan gemar beroperasi di kawasan gelap dan tersorok.
“Jika kawasan itu sudah cerah dan tidak lagi terlindung, mereka tidak akan dapat beroperasi dan aktiviti seumpama ini dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, MBAS sudah merangka pelbagai rancangan pembangunan di kawasan berkenaan yang diyakini mampu menghapuskan aktiviti pelacuran itu sepenuhnya.
Khazali berkata, MBAS mempunyai kuasa terhad iaitu tindakan terhadap pembinaan premis haram di kawasan berkenaan manakala aktiviti memerangi gejala tidak bermoral diserahkan kepada jabatan agama dan polis.
“Kami akan terus memantau lokasi ini dan tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba membina penempatan haram terutama untuk tujuan pelacuran,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan mengenai segelintir mak nyah di sekitar bandar raya ini mendakwa mampu melayan lebih 10 pelanggan dalam satu malam dengan hanya minum secawan `kopi istimewa’ dikenali `kopi reggae’ di kalangan mereka.
Mereka yang menjalankan ‘perniagaan’ sekitar Stesen Keretapi Alor Star itu mendakwa selain memberi kekuatan seksual, kopi itu mampu membantu mereka bersengkang mata sepanjang malam sekali gus boleh memberi layanan hebat kepada pelanggan.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223090017/Article/index_html
No comments:
Post a Comment