Tuesday, January 6, 2009

10 remaja serang polis


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mereka baru berusia 14 hingga 16 tahun. Namun, ia tidak menghalang sekumpulan 10 remaja samseng bertindak ganas memukul beramai-ramai seorang anggota polis hingga parah sebelum merampas pistol mangsa.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi semalam, kumpulan remaja liar terbabit mengepung Lans Koperal Paramasivam, 49, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, sebelum membelasahnya menggunakan batang besi dan topi keledar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku sejurus Paramasivam menerima maklumat tindak-tanduk mencurigakan sekumpulan remaja di tapak pembinaan berhampiran Desa Petaling di sini.

Sebaik anggota polis itu tiba, kumpulan 10 remaja terbabit tanpa gentar tiba-tiba mengepung dan memukulnya beramai-ramai walaupun lans koperal itu membawa senjata api.

“Remaja berkenaan sempat merampas pistol mangsa yang turut berisi peluru sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anggota polis itu terpaksa menerima lima jahitan di belakang kepala selain cedera di tubuh. Dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan usaha menjejaki kumpulan remaja liar berkenaan giat dilakukan.

“Polis percaya kumpulan remaja liar itu merancang mencuri besi di tapak pembinaan terbabit sebelum kegiatan mereka cuba dihalang mangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan awal pagi semalam, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki dua penjenayah samun dan pecah rumah.

Dalam kejadian jam 4 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang sedang melakukan sekatan jalan raya di Jalan Ipoh di sini, melihat sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, kereta dinaiki dua lelaki itu tiba-tiba membuat pusingan U dan cuba melarikan diri sebaik menyedari polis membuat sekatan jalan.

Berikutan itu, anggota polis yang menaiki kereta peronda segera mengejar suspek sebelum mengarahkan kenderaan itu dihentikan.

Bagaimanapun, tindakan liar pemandu kereta terbabit cuba melanggar kereta peronda menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan.

Kereta suspek ditahan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sebelum seorang suspek berusia awal 20-an diberkas.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang disembunyikan dalam kereta milik suspek.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090106093334/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...