Tuesday, January 6, 2009

'Bakal pengantin' samun pengurus butik RM20,000


KUANTAN - Sepasang individu yang menyamar sebagai bakal pengantin bersama dua lagi rakan mereka melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai bernilai RM20,000, dari sebuah butik pengantin di Jalan Lim Hoe Lek di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Suptritendan Nordin Mustapha memberitahu, dalam kejadian itu, pasangan terbabit datang ke butik berkenaan pukul 9 malam berpura-pura bertanya mengenai pakej perkahwinan kepada pengurus butik itu.

Beliau berkata, kedua-dua mereka bagaimanapun keluar dari premis itu kononnya untuk berbincang mengenai tawaran pakej tersebut sebelum datang semula kira-kira 10 minit kemudian.

"Ketika itu suspek lelaki masuk ke dalam premis dan disusuli dua lagi rakannya, manakala wanita terbabit menunggu di luar premis tersebut," katanya.

Menurutnya, suspek terbabit kemudian mengeluarkan pisau pemotong sayur dan meminta pengurus butik berusia 38 tahun itu bersama dua pekerja wanita dan dua pekerja lelaki berusia 18 hingga 26 tahun supaya tidak membuat bising.

Katanya, suspek juga meminta dua pekerja wanita membuka rantai leher dan gelang tangan yang dipakai dan sebelum melarikan diri suspek turut mengambil komputer riba serta wang tunai mangsa terbabit yang berjumlah lebih RM3,000. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...