Tuesday, January 6, 2009

Makan biskut rendam air hujan

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


LAPAR...mangsa diberi makan selepas dibawa keluar
dari kawasan air terjun Hutan Lipur Berkelah.


KUANTAN: “Kami hanya makan biskut dan mi segera yang direndam dengan air hujan bagi mengalas perut selama tiga hari terperangkap.

“Selain kelaparan, kami juga kesejukan apabila semua pakaian basah sehingga terpaksa berkumpul bagi mendapatkan haba panas,” kata Mohd Rosdi Mat Rashid, 29, mangsa terkandas di air terjun Hutan Lipur Berkelah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 10 remaja termasuk seorang wanita berumur antara 21 hingga 29 tahun dari Temerloh dan Mentakab terkandas di aras empat air terjun berkenaan sejak empat hari lalu.

Mohd Rosdi berkata, apabila dahaga mereka terpaksa minum air hujan sepanjang tiga hari terperangkap.

Menurutnya, ia pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila terutama apabila melihat air naik begitu cepat hingga memaksa mereka menyelamatkan diri dengan memanjat batu.

Katanya, kejadian itu akan menjadi pengajaran kepada mereka untuk tidak mengadakan aktiviti perkhemahan di hutan dan kawasan air terjun terutama pada musim hujan.

“Saya bersyukur semuanya selamat walaupun perasaan cemas berlaku apabila melihat arus air yang deras di sekeliling tempat kami berkhemah di atas batu.

“Perasaan cemas ketika menyeberang tiga laluan air yang deras ketika hendak turun dari bukit juga menjadi detik yang tidak mungkin dapat dilupakan,”
katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Bagi, Noo Rain Zakaria, 21, dia bersyukur semuanya selamat terutama selepas berhadapan dengan pelbagai kesulitan berada di atas batu yang dikelilingi air yang deras.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang menyelamatkan kami, sumbangan makanan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail juga diterima,” katanya.

Sementara itu, ketua operasi menyelamat, Asisten Superintendan Hashim Yahya, berkata pihaknya menerima laporan terdapat sekumpulan 10 remaja terperangkap di air terjun Hutan Lipur Berkelah pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, operasi mengesan seterusnya menyelamat mangsa bermula setengah jam kemudian dan semua remaja selamat turun daripada kawasan air terjun pada jam 8.30 malam.

Katanya, seramai 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat terbabit dalam operasi menyelamat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105085822/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...