Tuesday, January 6, 2009

Pelajar MRSM gagal pulang


RAYU...Mohammad Azrul menunjukkan gambar adiknya,
Noor Azita.


PRAI: Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Perak, menghilangkan diri selepas dihantar ibunya ke perhentian bas pusat bandar Bagan Serai, Perak untuk ke rumah rakannya di daerah sama sejak 9 Disember lalu.

Pelajar berkenaan, Noor Azita Musa, 17, dari Kampung Matang Merbau, Jalan Selama, Bagan Serai menaiki bas ke rumah rakannya dikenali Shafiqah Roslan, 17, di Masjid Tinggi, Bagan Serai untuk menyambut Aidiladha.

Abangnya, Mohammad Azrul, 22, berkata adiknya memberitahu ibunya, Rogayah Abidin, 42, yang dia akan pulang ke rumah semula pada hari sama.

Bagaimanapun, Noor Azita menghubungi kakaknya, Norazrin, 20, jam 8.56 malam pada hari sama menyatakan dia berada di Taman Suria, Ipoh.

“Ketika Norazrin sedang berbual dengan Noor Azita menerusi telefon bimbit, secara tiba-tiba talian itu terputus dan tidak dapat dihubungi sehingga kini,” kata Mohammad Azrul.

Kehilangan Noor Azita anak ketiga dari enam beradik sudah dilaporkan di Balai Polis Bagan Serai, 11 Disember lalu.

Menurutnya, adiknya memakai baju kurung berwarna krim berbunga hijau dan bertudung hijau dengan ketinggian 165 sentimeter serta berkulit sawo matang.

Bapanya, Musa Awang, 46, dan ibunya ada menghubungi rakan karib Noor Azita dan memaklumkan anak perempuan mereka tidak menghubungi mereka.

Orang ramai menemui Noor Azita boleh menghubungi Rogayah menerusi telefon bimbit 013-4498737, Musa 013-7515312 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105090837/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...