JOHOR BAHRU: “Saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya selamat dan mereka pulang ke rumah ibu saudara di kampung di Pasir Mas, Kelantan pada hari ini,” kata seorang pengawal keselamatan, Che Ramli Che Teh, 39, yang lega selepas dua anaknya yang menghilangkan diri selama lapan hari akhirnya menghubunginya, pagi semalam.
Ramli berkata, anak sulungnya, Ariey, 14, dan anak perempuannya, Nurul Ain, 13, menghubunginya selepas melihat paparan berita di akhbar Metro Ahad yang meminta bantuan orang ramai mengesan mereka kerana menghilangkan diri dari kediaman mereka di Taman Kota Masai, di sini, sejak 28 Disember lalu.
“Mereka menyatakan selama ini tinggal di rumah seorang kenalan di Pahang yang tidak dikenali saya mahupun ibu saudara mereka. Ariey dan Nurul men menaiki bas ekspres pulang ke rumah ibu saudara, tengah hari ini (semalam) dan saya mungkin ke situ berbincang semula mengenai masalah dialami mereka,” katanya yang menghubungi Harian Metro, semalam.
Semalam, Metro Ahad melaporkan mengenai tindakan dua beradik meninggal nota kepada bapanya sebelum menghilangkan diri.
Mereka dipercayai bertindak demikian kerana tertekan selepas terpisah dengan keluarga ibu saudara yang menjaga mereka sejak kecil di Pasir Mas, Kelantan.
Kedua-dua anaknya itu mempunyai hubungan rapat dengan ibu saudara dan sepupu yang dianggap sebagai keluarga angkat kerana sudah tinggal di situ selama lapan tahun.
Ramli berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana prihatin dan simpati mengenai kisah dua cahaya matanya itu yang menghilangkan diri.
“Selain itu, kami berharap mereka tidak mengulangi perbuatan itu dan berbincang dengan saya mahupun ibu saudara sekiranya menghadapi sebarang masalah.
“Tindakan Ariey dan Nurul menghilangkan diri adalah dugaan bagi kami hingga menimbulkan tekanan hebat. Kami berharap perbuatan itu memberi pengajaran baik kepada Ariey dan Nurul dan kami tidak memaksa mereka pulang ke Johor sekiranya lebih selesa belajar di kampung, “ katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105090955/Article/index_html
No comments:
Post a Comment