Tuesday, January 6, 2009

Israel tabur bom kimia di Gaza


LETUPAN berwarna putih akibat bedilan tentera Israel dilihat di utara Genting Gaza kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


GAZA - Spekulasi semakin meningkat bahawa tentera Israel mungkin menggunakan bom fosforus berwarna putih yang diharamkan ketika menyerang Gaza, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika askar-askar Yahudi dan kereta kebal mara ke Gaza, bedilan meriam dilepaskan sehingga mencetuskan kepulan asap putih.

Tompokan putih fosforus boleh menyebabkan seseorang itu melecur di badan dan penggunaannya adalah diharamkan terhadap orang awam berdasarkan Perjanjian Geneva pada 1980.

Tentera Israel mengaku menggunakan senjata itu dalam operasi ketenteraan pada 2006 ketika menentang Hezbollah di Lebanon.

Tentera Israel menafikan menggunakan senjata itu dalam serangan di Gaza yang setakat ini lebih 530 penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 2,600 lagi cedera.

"Israel menggunakan senjata yang dibenarkan berdasarkan undang-undang antarabangsa," kata jurucakap tentera Israel, Kapten Ishai David.

Seorang lagi pakar ketenteraan Israel menyatakan letupan-letupan berwarna putih itu adalah bagi tujuan 'membutakan' penglihatan musuh.



SEBAHAGIAN penduduk Palestin berjalan melintasi sebuah masjid yang musnah di Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Sementara itu, seorang pakar tentera Britain, Charles Heyman berkata, jika tentera Israel menggunakan bedilan fosforus, negara itu dianggap sudah melakukan satu jenayah perang.

"Jika fosforus ditembak ke arah sekumpulan orang ramai, seseorang mesti dibawa ke muka pengadilan di The Hague," katanya yang merupakan bekas tentera Britain.

Tentera Israel melancarkan serangan darat ke Gaza sejak Sabtu lalu bagi menghapuskan anggota-anggota Hamas yang melancarkan serangan roket ke arah negara Yahudi itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...