Wednesday, January 7, 2009

Baju anak pengubat rindu

Oleh Mohd Rashidi Yusuf
am@hmetro.com.my


SAYU...Norlizawati (baju hitam di tengah) bersama ahli keluarga.


KUALA KANGSAR: “Hanya baju anak menjadi pengubat rindu. Setiap kali berbual dalam telefon dengan anak saya pasti saya akan mencium baju itu dan tanpa disedari air mata pasti mengalir,” kata Norlizawati Mat Nor, 26, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seterus, Sauk, dekat sini, semalam.

Norlizawati yang berkahwin dengan warga Indonesia, Sitiknor Nizam, 29, pulang seorang diri ke kampung halamannya sebulan lalu tanpa anaknya, Musmaulidul Maulana, 3 tahun 8 bulan berikutan masalah sijil kelahiran dan surat nikah manakala suaminya pula sudah meninggalkan mereka dua beranak sejak dua tahun lalu.

Katanya, setiap hari, dia hanya mampu menangis kerana merindui anak tunggalnya itu, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa dan tidak tahu bagaimana hendak mengurus kepulangan anaknya itu.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak membawa anak saya pulang supaya kami dapat bersama semula, lagi pun saya tidak ada wang.

“Jadi sekiranya ada pihak ingin membantu, saya sangat-sangat mengharapkannya,” katanya.

Norlizawati berkata, anaknya masih bersama ibu mentuanya di Desa Kadungbang Teng, Kecamatan Bakung, Blitar, Jawa Timur, Indonesia.

Katanya, suami meninggalkan mereka anak-beranak sejak Mei 2006 dan pulang seorang diri ke Johor untuk bekerja.

“Sejak itu, saya tinggal dengan mentua tetapi saya berjaya pulang ke tanah air sebulan lalu dengan usaha pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia serta bantuan kewangan oleh seorang tokoh korporat selepas empat tahun berada di negara itu.

“Saya mengikut suami pulang ke Indonesia pada Mei 2005 tanpa pengetahuan keluarganya dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak Musmaulidul Maulana.

“Bagaimanapun, selepas merasai keperitan hidup di rantau orang dan kecurangan suami, saya mengambil keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107094033/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...