Wednesday, January 7, 2009

Tolak isteri dalam sungai

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



KUANTAN: Pertengkaran sepasang suami isteri di atas Jambatan Sungai Bukit Rangin di sini, tengah malam kelmarin, berakhir dengan wanita itu ditolak ke dalam sungai.

Namun, nyawanya masih panjang kerana terselamat walaupun terpaksa berpaut pada kayu bakau selama tiga jam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, wanita berusia 45 tahun itu diselamatkan polis marin dan anggota Bomba dan Penyelamat Pahang selepas menerima maklumat orang awam.

Sumber memberitahu Harian Metro, sebelum kejadian, mangsa yang juga isteri kedua lelaki berusia 42 tahun itu bertengkar kerana berselisih faham.

Selain cemburu, wanita itu dikatakan tidak mengetahui dia sebenarnya isteri kedua. Ini berikutan ketika pasangan terbabit berkahwin di Thailand, dia dipercayai tidak mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri.

Perang mulut pasangan itu bertambah tegang menyebabkan suaminya hilang pertimbangan lalu menolaknya ke dalam sungai.

Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu bagaimanapun panik sebaik isterinya terjatuh ke dalam sungai sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jasmani Yusoff, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, dua pemancing yang kebetulan berada berhampiran jambatan itu menyedari kejadian berkenaan bergegas menghubungi polis untuk meminta bantuan.

Katanya, sepasukan anggota polis marin dibantu anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui wanita itu terapung kira-kira 500 meter dari tempat dia ditolak jam 3.30 pagi.

Mohd Jasmani berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan.

“Susulan itu, polis menjejaki rumah lelaki itu di bandar ini dan menahannya untuk siasatan lanjut kira-kira jam 5 pagi.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai status pasangan itu yang bernikah di Thailand,”
katanya.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Sementara itu, cubaan Harian Metro mendapatkan kenyataan mengenai kejadian itu daripada mangsa gagal kerana dia dikawal rapi seorang anggota polis wanita.

Berdasarkan tinjauan, mangsa dipercayai masih trauma dan fobia dengan kejadian itu, tidur dalam keadaan berselimut menutup separuh muka.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107100554/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...