Wednesday, January 7, 2009

Petrol, diesel kekal pada harga semasa


PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel akan dikekalkan pada harga semasa memandangkan harga pasaran dunia kedua-dua bahan api itu tidak menunjukkan perubahan ketara ketika ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata pengekalan harga bahan mentah itu adalah selepas penurunan terakhir iaitu penurunan ketujuh sebanyak 10 sen bagi setiap liter pada 16 Disember tahun lalu.

“Saya lihat kiraan secara purata (harga pasaran dunia) pada akhir Disember lalu adalah pada AS$41 (RM143.50) setong dan kadar itu tidak banyak berbeza pada pertengahan bulan sama iaitu semasa kita membuat keputusan untuk turunkan 10 sen bagi setiap liter.

“Penurunan pada pertengahan Disember sepatutnya hanya 5 sen saja kalau pada kadar AS$40 setong, tetapi kerajaan memutuskan untuk menurunkan 10 sen menjadikan harga runcit petrol semasa RM1.80.

“Bagaimanapun, kami tak nampak akan ada kenaikan atau penurunan harga petrol dan diesel di peringkat runcit dalam bulan ini,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri di kementeriannya di sini, semalam.

Mengikut formula penyelarasan bahan api yang ditetapkan sebelum ini, harga runcit petrol dan diesel akan ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia ditolak dengan subsidi kerajaan 30 sen seliter.

Bagaimanapun, kerajaan mempercepatkan penurunan harga runcit sejajar aliran harga minyak mentah dunia supaya rakyat dapat menikmatinya segera.

Sehingga kini, rakyat sudah menikmati penurunan kali ketujuh sejak Ogos tahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092400/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...