Wednesday, January 7, 2009

Penduduk Gaza tiada tempat untuk selamatkan diri



Rabu Januari 7, 2009

DUBAI: Ketika Gaza terus dibedil oleh tentera Israel, seorang pegawai Pertubuhan Bangsa Bersatu yang menjalankan pemerhatian di darat mendapati tiada sebuah rumah mahupun tempat perlindungan PBB selamat bagi hampir 1.5 juta penduduk di perkampungan pesisir itu.


"Tidak ada tempat selamat untuk melarikan diri. Kami menyeru semua pihak mematuhi undangundang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam," kata penyelaras kemanusiaan PBB bagi Wilayah Palestin yang diduduki, Maxwell Gaylard.


Sebagai salah sebuah tempat kediaman yang paling sesak di dunia, kata beliau, adalah jelas lebih ramai orang awam akan terbunuh dan lebih banyak rumah, bangunan dan infrastruktur awam akan musnah jika konflik itu berterusan.


"Saya mengulangi desakan setiausaha agung PBB supaya dihentikan segera keganasan ini. Manusia mempunyai hak untuk hidup, mendapatkan kebebasan dan keselamatan tidak kira siapa mereka dan di mana mereka tinggal" kata Gaylard dalam komennya dikeluarkan di sini.


Beberapa usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menyelesaikan konflik itu yang telah mengorbankan kirakira 600 nyawa sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 27 Dis.


Laporan menyatakan kirakira 15,000 rakyat Palestin sesak memenuhi 23 buah sekolah PBB di Gaza kerana rumah mereka musnah atau mahu menyelamatkan diri dari keganasan Israel.


"Lama sebelum pertempuran sekarang berlaku, PBB telah memberikan pihak berkuasa Israel GPS yang menyelaras semua instalasinya di Gaza," kata Gaylard, merujuk kepada bedilan hebat Israel ke atas beberapa kemudahan PBB di sana.


Beliau berkata jika undangundang kemanusiaan antarabangsa telah dilanggar, mereka yang melakukannya mesti diminta bertanggungjawab. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090107172527&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...