Wednesday, January 7, 2009

Tinggal dalam reban


DAIF...seorang warga emas yang dipercayai menjadikan
reban ayam sebagai tempat tinggal di Jalan Betik, Tampoi.



JOHOR BAHRU: Memilukan! Begitu kehidupan sekumpulan warga emas di bandar raya ini yang terpaksa tinggal dalam reban ayam dengan hidup serba kekurangan.

Seorang peniaga, Abrizah Abu Bakar, 48, berkata kumpulan warga emas itu dipercayai tiada pilihan hingga menetap dalam reban sempit dan menjalani kehidupan serba daif.

Menurutnya, lebih menyayat hati, mereka hidup sebatang kara terpaksa melakukan apa saja demi mendapatkan sesuap nasi termasuk menyelongkar timbunan sampah untuk mendapatkan makanan, mengemis atau mengumpulkan barangan kitar semula.

“Saya dan ahli keluarga terserempak dua warga emas berpakaian lusuh dalam keadaan terbiar yang berjalan berhampiran Jalan Betik, Tampoi di sini.

“Kami terkejut melihat warga emas berusia 60-an sehingga 70-an itu memasuki reban ayam.

“Mereka mengalas reban ayam itu dengan pakaian dan dipercayai dijadikan sebagai tempat berehat dan tidur, “
katanya.

Abrizah berkata, apabila dia dan suaminya menghampiri warga emas itu, kedua-dua lelaki berkenaan lari ke laluan berhampiran dengan tempat tinggal mereka itu.

Menurutnya, apabila menghampiri tempat itu, dia mendapati tempat tinggal warga emas itu dalam keadaan busuk dan menakutkan kerana bersebelahan semak hingga boleh mengancam keselamatan mereka.

“Terdapat beberapa tong yang diisi air dipercayai digunakan untuk keperluan minum mahupun mandi oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Ezhar Abdul Rauf, 20, berkata dia menyedari kehadiran sekumpulan warga emas di sekitar kawasan berkenaan yang menjadikan reban ayam sebagai tempat tinggal.

Menurutnya, kadangkala kumpulan warga emas itu berkelakuan memalukan hingga kurang disenangi di tempat tumpuan ramai.

“Pada tengah hari, kira-kira empat sehingga lima warga emas boleh dilihat mengemis mahupun terbaring di tepi jalan biarpun pada cuaca panas.

“Mungkin ada yang mempersenda kelakuan mereka dan suasana berkenaan menunjukkan sikap kurang prihatin masyarakat terhadap warga emas kurang bernasib baik itu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107095200/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...