Wednesday, January 7, 2009

Gantung akhbar Kristian seperti tidak galakkan BM


Jan 7, 09 4:29pm

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantungkan penerbitan edisi Bahasa Malaysia akhbar Katolik Herald minggu lalu seolah-olah tidak menggalakkan mereka menggunakan bahasa kebangsaan, kata Pemuda Majlis Gereja Malaysia.

"Bukankah orang beragama Kristian di negara ini juga warganegara yang berhak dan patut digalak menggunakan bahasa kebangsaannya dalam segala urusan hariannya?

"Bahasa Malaysia adalah hak milik bersama,"
kata setiausahanya, Daniel Chai.

"Sering kita mendengar seruan pemimpin-pemimpin negara kita agar rakyat Malaysia berbahasa Malaysia. Oleh demikian, Pemuda CCM berasa hairan atas larangan KDN ini."

Dalam satu kenyataannya hari ini, Chai menyifatkan larangan kementerian sebagai "penindasan atau diskriminasi terhadap penganut Kristian yang berbahasa dan berbangsa Malaysia".

Mingguan itu – diedarkan di kalangan 850,000 penganut Katolik di Malaysia – hampir ditarik balik lesen penerbitannya tahun lalu kerana menggunakan nama "Allah" sebagai terjemahan perkataan "Tuhan".

Pihak berkuasa melarang perkataan "Allah" digunakan oleh Herald dengan alasan ia hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Penggantungan itu berkuatkuasa awal bulan ini sementara menunggu mahkamah memutuskan sama ada akhbar tersebut boleh menggunakan "Allah" atau sebaliknya.

Chai bagaimanapun menegaskan perkataan tersebut telah digunakan oleh penganut Kristian selama beberapa generasi, khususnya di Malaysia Timur, seperti istilah "Allah" yang digunakan di kalangan mereka di negara-negara Arab dan Indonesia.

"Kami meminta kerajaan Malaysia supaya menghentikan penindasan oleh KDN ini dan membatal larangan tersebut, demi kebebasan rakyat beragama Kristian," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/95968

1 comment:

awang kata said...

Ini isu agama dan konteks negara. Kalau benar nak perkasakan bahasa Melayu, silakan. Ayuh, segala media biarkan hanya dalam bahasa Melayu di negara ini.

Tidak ada lagi akhbar berbahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil. Bagaimana. Setuju. Manakala dalam agama pula, ayuh semuanya menganut hanya Islam sebagai agama.

Dalam penyiaran pula semuanya dalam bahasa Melayu. Mungkin sahaja boleh terjadi andai benar kita orang yang benar.

Andai Allah nak dihakikatkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan - Islam sebagai agama rasmi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...