Wednesday, January 28, 2009

Keluar parti atas kehendak sendiri


IPOH: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu adalah atas kehendaknya sendiri dan bukan paksaan daripada mana-mana pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah menjanjikan apa-apa jawatan atau wang kepada Nasaruddin supaya beliau melompat ke PKR.

Beliau berkata, Nasaruddin mengambil langkah meninggalkan Umno untuk bertukar ke PKR mungkin kerana wujud konflik dalaman parti itu yang tidak dapat diselesaikan.

“Kami rasa apa dilakukan Nasaruddin adalah satu tindakan bijak dan pemimpin Barisan Nasional (BN) seharusnya menghormati keputusan yang dibuat beliau,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan dana sebanyak RM200,000 setahun secara terus kepada Pejabat Adun Bota bertujuan membiayai projek kecil di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini semua wang disalurkan kepada Pejabat Daerah, namun kini kami akan menyalurkan secara terus dana terbabit bagi memudahkan projek kecil itu dijalankan tanpa menunggu lebih lama,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung sama ada PR menawarkan jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau pengurus besar mana-mana anak syarikat kerajaan negeri kepada Nasaruddin supaya melompat parti, Mohammad Nizar berkata, tiada jawatan ditawarkan kepada Adun terbabit.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085311/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...