Sunday, February 22, 2009

Akhbar New York Post minta maaf kerana kartun


KARTUN ini menyebabkan akhbar New York Post meminta maaf secara terbuka.


NEW YORK - Sebuah akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat (AS),New York Post semalam memohon maaf kepada para pembacanya berikutan penyiaran kartun seekor monyet yang dianggap sebagai berunsur perkauman dan merujuk kepada Presiden AS, Barack Obama.

Penyiaran kartun politik kontroversi kelmarin menimbulkan kemarahan kumpulan-kumpulan hak asasi sehingga mencetuskan protes di luar ibu pejabat News Corp.

Kartun itu menunjukkan seorang anggota polis menembak seekor monyet yang merujuk kepada satu kejadian di Connecticut Isnin lalu di mana seorang pegawai menembak mati seekor cimpanzi yang menyerang seorang wanita.

Dalam lukisan itu, seorang anggota polis memberi komen: "Mereka perlu mencari orang lain untuk menulis rang undang-undang rangsangan ekonomi."

Sebelum ini, Obama menandatangani pakej rangsangan ekonomi dengan menjadikannya undang-undang.

Pada muka rencana pengarang, New York Post menyatakan kartun itu memberi gambaran bahawa rang undang-undang rangsangan ekonomi persekutuan tidak ditulis dengan baik.

"Namun ia tidak disalah erti sebagai menggambarkan Presiden Barack Obama. Ia sudah tentu bukan niatnya. Kepada semua pihak yang terguris perasaan, kami memohon maaf," kata akhbar itu.

Beratus-ratus penunjuk perasaan hak asasi kulit hitam menjerit dan mendesak New York Post ditutup berhubung penyiaran kartun itu.

Pemimpinnya, Al Sharpton menganggap kartun itu menyindir Obama yang mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pertama berkulit hitam pada 20 Januari lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...