Sunday, February 22, 2009

Si sumbing Pinki ke Hollywood


KEHIDUPAN Pinki (dua dari kanan) mula berubah apabila dia berlakon dalam sebuah dokumentari mengenai kisah perjalanan hidup dirinya.



PENDERITAAN Pinki selama enam tahun akhirnya membawa tuah pula kepada keluarganya.



KEJAYAAN Pinki memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang berbibir sumbing untuk meneruskan kehidupan.


NEW DELHI - Mungkin perhatian banyak diberi kepada filem hebat mengenai kisah setinggan di Mumbai,Slumdog Millionaire karya Danny Boyle pada Anugerah Oscar malam ini.

Namun dokumentari pendek mengenai seorang gadis India yang dilahirkan dengan wajah sumbing bibir turut memberi penangan hebat dalam perebutan trofi berprestij itu.

Dokumentari selama 39 minit,Smile Pinki arahan Megan Mylan mengisarkan putaran perjalanan hidup Pinki yang disisihkan masyarakat di kampungnya pada usia lapan tahun.

Namun selepas kecacatan pada bibirnya itu berjaya diperbetulkan, dia diterima kembali malah diagungkan pula oleh penduduk sebagai kisah keajaiban daripada Tuhan.

Kisah benar itu juga menjadikan filem pendek tersebut bersaing antara empat dokumentari yang dicalonkan untuk sebuah lagi anugerah elit di Amerika Syarikat (AS), Academy Award.

"Saya ke AS bagi membawa balik trofi," ujar pelakon utama dokumentari itu yang tinggal di sebuah perkampungan di daerah Mirzapur, 90 minit memandu dari kota suci Hindu, Vanarasi, utara India.

Untuk ke sana, perjalanan menempuh lagi 20 minit laluan lebuh raya berliku, dipenuhi debu, kotoran serta pemandangan hodoh ribuan pondok diperbuat daripada lumpur dan kayu.

Ditanya mengenai anugerah Oscar, si cilik itu sekadar memandang jauh sebelum menggeleng kepala sebagai tanda tidak tahu atau belum pernah lagi mendengarnya.

Kerana sumbing bibir ketika dilahirkan, Pinki dianggap pembawa sial dalam keluarga. Malah untuk beberapa tahun pertama, kehidupannya dipenuhi kesedihan dan penderitaan.

"Ketika dilahirkan, bibirnya 'terkoyak'. Cukup menakutkan. Saya sendiri tidak sanggup untuk melihatnya jadi bagaimana saya hendak menyalahkan jiran," kata ibunya, Simla Dewi.

Selain diejek, Pinki juga digelar hothkati iaitu gadis bermulut koyak. Di sekolah, Pinki dipulaukan pelajar lain kerana perbezaannya. Malah, tiada sesiapa sudi bermain dengannya.

"Saya rasa cukup teruk apabila dipanggil hothkati. Saya marah dan terluka. Kadangkala saya membalas tetapi kini tiada lagi yang mengejek. Mereka memanggil saya Pinki," ujarnya.

Biarpun keluarganya memiliki sebidang kecil tanah untuk kegiatan pertanian, bapanya, Rajendar Sonkar bekerja sebagai buruh pada siang hari untuk menyara dia dan lima anaknya.

Kehidupan kanak-kanak itu mula berubah apabila ditemui seorang pekerja sosial, Dr. Subodh Kumar Singh yang juga pakar bedah plastik di Hospital GS Memorial di Varanasi.

Petugas sukarelawan kebajikan akan pergi ke setiap kampung untuk mencari pesakit bibir sumbing. Kebetulan ketika lawatan ke kampung itu, sutradara dari AS, Mylan turut ada bersama.

"Mereka merakam gambar Pinki ketika usia enam tahun dan tunjuk kepada saya. Apabila saya lihat, saya kata inilah gadis yang akan jadi pelakon dalam filem dokumentari itu," ujarnya.

Dengan bantuan sebuah badan amal berpusat di New York, Smile Train, Dr. Subodh berjaya membedah bibir sumbing ke atas lebih daripada 13,000 pesakit miskin sejak tahun 2004.

India mencatatkan sejuta orang berbibir cacat dan dianggarkan setiap tahun 35,000 bayi dilahirkan sedemikian rupa. Selepas pembedahan, Pinki kini mampu kembali tersenyum.

Senyuman adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukannya dulu kerana kesakitan pasti dialami jika dia menggerakkan bibirnya itu. Malah dia digelar Dhana Lakshmi, iaitu dewi kebajikan.

Kini, Pinki dalam perjalanan ke Kodak Theater di Hollywood bagi menghadiri majlis Oscar yang berlangsung dengan iringan doa penduduk kampungnya untuk meraih kejayaan. - Agensi.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...