Malu, takut jebak wanita
KUALA LUMPUR: Sifat malu dan takut menjadi punca ramai wanita yang menjadi mangsa ugutan rakaman gambar atau video lucah tidak berani tampil untuk meminta bantuan, sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi.
Malah, ada antaranya sanggup menjadi ‘pak turut’ dengan menuruti segala kemahuan atau kehendak lelaki, termasuk memberi wang dan menjadi tempat memuaskan nafsu.
Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, mendedahkan beliau pernah menerima panggilan daripada wanita yang menjadi mangsa, tetapi sifat malu dan takut menjadi punca mereka tidak berani tampil ke depan.
Katanya, sejak diberi tanggungjawab menjadi pengerusi sekretariat berkenaan mulai April tahun lalu, 14 kes atau panggilan diterima pihaknya, namun tiada seorangpun berani menyelesaikan masalah mereka mengikut saluran betul.
“Saya menerima tiga panggilan daripada mangsa yang menyatakan mereka menjadi mangsa ugutan rakaman gambar lucah sendiri, tetapi tidak tahu hendak buat apa.
“Apabila saya minta mereka datang ke sini, mereka tidak mahu dengan alasan malu dan takut. Jika mereka tidak berani tampil, masalah ini tidak akan selesai,” katanya.
Menurutnya, melalui pengalamannya, ada mangsa bekerja sebagai eksekutif, penuntut universiti, pelajar dan mat rempit.
“Sejak saya mendekati golongan mat rempit misalnya, mereka mendedahkan pelbagai rakaman gambar lucah dan aksi seks golongan terbabit, seperti ada yang buat di atas motosikal, bawah tangga, taman serta dalam lif.
“Namun, paling mengecewakan, ada remaja perempuan, atas bertudung tetapi bahagian bawah terbuka,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Azeez menasihatkan wanita, khususnya remaja, supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pujukan lelaki.
“Saya nasihatkan wanita, terutama remaja, jangan jadi mangsa. Lebih penting, ibu bapa menerapkan soal akidah dan pendidikan agama kepada mereka sejak kecil.
“Pada saya, agama kaedah terbaik menangani masalah moral hari ini. Kepada yang terbabit, saya nasihatkan supaya kembali ke pangkal jalan,” katanya.
Sejak beroperasi, sekretariat berkenaan menerima 120 kes, antaranya membabitkan lari dari rumah, meminjam ceti haram atau along, culik, mengikut teman lelaki dan berkaitan kebajikan.
Daripada kes itu, katanya, 80 peratus berjaya diselesaikan dan pihaknya meminta mereka yang menghadapi masalah boleh menghubungi sekretariat di talian 03-22736004. Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, ketika ditemui menyifatkan perbuatan merakam adegan seks bersama pasangan masing-masing adalah tindakan keji dan tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, banyak kes yang lebih teruk diterima pihaknya apabila ada wanita yang membuat aduan dianiaya bekas kekasih kerana gambar bogel wanita terbabit dirakam secara curi oleh pasangannya.
Menurutnya, apabila pasangan terbabit berpisah, lelaki terbabit yang enggan memutuskan hubungan dan inginkan habuan seks mengugut teman wanitanya.
“Lazimnya, kes begini lelaki atau kekasih wanita terbabit akan mengugut menyebarkan klip video itu di Internet atau kepada rakan dan keluarga. Mereka juga menggunakan helah itu untuk mendapatkan wang.
“Di pihak saya, siapa saja yang tampil membuat aduan, kami akan bawa kes berkenaan kepada polis selain mendedahkannya kepada media. Kita ‘ugut’ semula lelaki itu tetapi dengan cara betul dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Michael berkata, mana-mana pasangan yang hangat bercinta tidak sepatutnya membenarkan pasangan mereka, sama ada lelaki atau perempuan, dengan sewenang-wenangnya mengambil dan merakam aksi dan gambar yang membabitkan hak peribadi mereka.
“Itu termasuk melakukan adegan seks atau gambar mereka memakai pakaian dalam. Ini boleh membawa masalah jika pasangan terbabit berpisah.
“Lihat apa berlaku sekarang, tidak kira apa peringkat umur dan kerjaya, perkara begini satu kebiasaan. Menyedihkan, kebanyakan mangsa adalah wanita kerana hanya gambar dan wajah wanita saja biasanya terpampang dalam klip video dan gambar terbabit,” katanya.
Michael berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya menerima enam kes membabitkan masalah terbabit dan ia berlaku di kalangan pasangan belum berkahwin.
Katanya, setakat tahun ini pihaknya menerima satu kes, namun tidak menolak kemungkinan ada banyak lagi kes membabitkan masalah ini tetapi malangnya individu terbabit tidak mahu tampil ke depan.
“Saya pernah menerima banyak panggilan, tetapi apabila saya pujuk mereka datang ke sini (Unit Aduan Awam MCA), mereka enggan kerana tidak mahu menanggung malu.
“Dalam hal begini, mereka tidak perlu takut. Jika tidak, masalah itu tidak akan ada kesudahan dan mereka akan terus menjadi mangsa,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090222090114/Article/index_html
No comments:
Post a Comment