Sunday, February 22, 2009

Beras murah guna pembungkus beras berkualiti


ZAINAL menunjukkan beras tidak berkualiti (kiri) dan beras berkualiti tinggi yang dibungkus dalam bungkusan yang sama di rumahnya di Rawang semalam.


RAWANG - Serupa tapi tak sama. Seorang lelaki mendakwa ada pihak-pihak tertentu cuba memasarkan beras yang berkualiti rendah tetapi menggunakan plastik pembungkus beras berkualiti tinggi bagi mengelirukan pengguna.

Beliau mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada beras yang dibelinya minggu lalu apabila mendapati perbezaan ketara boleh dilihat pada bahagian bawah bungkusan antara beras sebenar dengan beras murah yang dibungkus semula.

Malah perbandingan yang dibuat di antara beras itu dengan beras yang dibeli dari pasar raya yang lain turut mendapati kadar beras hancur yang terdapat di dalamnya lebih tinggi.

Menurut lelaki itu, Zainal Abidin Saad, 40, beliau mula curiga selepas mendapat maklumat menerusi satu program sebuah stesen televisyen yang mengajar cara untuk mengesan beras yang tidak berkualiti.

"Maklumat daripada siaran televisyen itu menyatakan pengguna boleh melihat bahagian bawah bungkusan beras sama ada ia dibuat dengan kemas dan baik.

"Setelah saya periksa bungkusan beras yang dibeli, saya yakin beras ini beras tipu dan tidak berkualiti.

"Pada bungkusan tertulis Super Tempatan (ST) 15 peratus hancur yang dijual pada harga RM17.50, tetapi di dalamnya kelihatan banyak beras hancur. Beras dalam plastik yang satu lagi tidak begitu.

"Saya tidak tahu bagaimana cara untuk pastikan gred beras tetapi daripada mata kasar kita boleh lihat perbezaannya. Ini satu penipuan,'' kata pereka grafik di sebuah syarikat swasta itu ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di sini semalam.

Zainal turut menghubungi pengedar beras tersebut untuk mendapatkan kepastian. Bagaimanapun, usahanya gagal setelah syarikat berkenaan enggan melayan pertanyaan beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...