Sunday, February 22, 2009

Pengusaha bengkel cilok kereta curi


HAIZAM dan isterinya, Shamsiah Bulat menunjukkan foto aksesori keretanya yang hilang pada pertemuan dengan Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Perasaan gembira seorang peniaga, Haizam Zainal, 49, yang berjaya menemui semula keretanya yang dicuri hanya dapat bertahan seketika apabila pelbagai aksesori dalam kereta itu telah dilerai dan dicuri pula oleh pengusaha bengkel kenderaan di sini.

Menurutnya, kejadian malang itu bermula setelah kereta Proton Iswaranya yang dicuri dari rumahnya di Flat Sri Sabah, Cheras di sini pada bulan Disember tahun lepas ditemui kembali di kawasan berhampiran 34 hari kemudian. Kereta itu kemudian dibawa ke sebuah bengkel di Jalan Hulu Langat, Kajang oleh wakil daripada syarikat insurans kereta.

“Bengkel tersebut bagaimanapun telah meleraikan dan mencuri komponen di dalam kereta saya seperti radio, cermin sisi kereta, komponen pendingin hawa, speaker radio malah turut menukar kerusi asal kereta kononnya untuk menunjukkan keadaan teruk bagi membuat tuntutan insurans.

“Mereka menjanjikan untuk memasangnya kembali setelah tuntutan insurans diperoleh tetapi ia hanya merugikan saya sahaja kerana jika saya terima tuntutan itu kereta saya akan dianggap lupus,” katanya yang sempat mengambil gambar bahagian tertentu dalam keretanya sebelum dihantar ke bengkel sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau semakin keliru apabila pada masa yang sama syarikat insurans yang bertanggungjawab telah mengeluarkan surat bagi membayar pampasan kehilangan kenderaan.

“Mereka memberikan tawaran sebanyak RM19,000 untuk kereta saya tetapi nilai tersebut tidak berbaloi kerana saya akan kehilangan kereta tersebut,’’ katanya.

Tambahnya lagi, apa yang membuatkan dirinya keliru adalah bagaimana syarikat insurans berkenaan boleh mengeluarkan surat untuk pampasan kehilangan itu sedangkan mereka telah dimaklumkan penemuan kereta itu.

“Lebih pelik lagi urusan tuntutan tersebut hanya mengambil masa yang singkat,’’ katanya.

Haizam yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku telah berbincang dengan wakil daripada syarikat insurans berkenaan serta wakil bengkel tersebut. Bagaimanapun, perbincangan itu tidak menemui jalan penyelesaian.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...