anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Menjadi tanda tanya. Seorang janda hanya membuat laporan polis Rabu lalu selepas mendakwa dia dirogol tiga kali oleh seorang warga Afrika yang menyewa rumahnya sejak sebulan lalu.
Apabila ditanya mengenai kelewatannya membuat laporan polis, dia memberi alasan terlalu sibuk dengan pekerjaannya.
Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 34 tahun tinggal di sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras.
Dia kemudian mengiklankan bilik kosong untuk disewa kepada sesiapa yang berminat dalam Internet.
Menurutnya, iklannya mendapat maklum balas daripada seorang lelaki Afrika berusia 36 tahun.
“Selepas berbincang, dia bersetuju menyewa bilik utama di rumah janda berkenaan dengan bayaran RM200 sebulan.
“Suspek yang mula menyewa Disember lalu dikatakan membayar sewa bilik sekali saja sebelum enggan membuat bayaran pada Januari dan Februari,” katanya.
Dalam laporann polisnya, mangsa mendakwa diperkosa pada 21 Februari lalu ketika berada di rumah bersama penyewa berkenaan.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai pegawai tadbir mendakwa tiba-tiba dipeluk suspek dari belakang sebelum ditarik masuk ke dalam bilik tidurnya.
“Dalam keadaan masih terkejut dan cuba untuk melawan, mangsa diperkosa suspek sebelum dilepaskan begitu sahaja,” katanya.
“Dua hari kemudian mangsa mendakwa sekali lagi diperkosa lelaki berkenaan dalam bilik tidurnya.
“Dia mendakwa sedang lena tidur sebelum suspek menceroboh masuk ke dalam biliknya lalu memperkosanya. Mangsa yang enggan membuat laporan polis kerana ketakutan diperkosa lagi beberapa hari kemudian,” katanya.
Menurutnya, suspek keluar dari rumah sewa berkenaan pada 3 Mac lalu tanpa membawa sebarang perkakas atau pakaian miliknya.
“Bagaimanapun, Rabu lalu, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali mengugut mahu membunuhnya selain mencederakan anaknya,” katanya.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian dia diperkosa dan diugut.
“Mangsa mendakwa sebelum ini enggan membuat laporan polis kerana berasa takut selain terlalu sibuk dengan tugas di pejabat,” katanya.
Difahamkan polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan suspek kini sedang diburu polis.
Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, seorang gadis berusia 20-an turut diperkosa tidak kurang enam lelaki selepas dikatakan cuba mencari rumah sewa.
Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dihubungi teman lelaki yang baru dikenali mendakwa berjaya mendapatkan rumah kedai berhampiran Serdang di sini, untuk didiami mangsa.
Mangsa yang tinggal di Puchong Prima dijemput rakan kepada teman lelakinya itu pada jam 10 malam di Batu 14, Puchong, di sini.
Difahamkan, mangsa yang menaiki motosikal dibawa ke sebuah bilik sebelum tiba-tiba diperkosa tiga lelaki dipercayai rakan kekasihnya.
Mangsa mendakwa turut diugut bunuh dengan ditunjukkan pedang Samurai oleh suspek.
Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditakutkan akan dibunuh dengan cara mukanya ditekup dengan bantal sehingga lemas.
Mangsa yang ketakutan terpaksa merelakan suspek ‘meratah’ tubuhnya bergilir-gilir.
Keesokan harinya, suspek mendakwa turut diperkosa beberapa lelaki lagi sebelum dia dibebaskan pemilik rumah sewa berkenaan pada jam 8 pagi Sabtu lalu selepas mangsa menceritakan detik ngeri dialami.
Mangsa yang berjaya melarikan diri dengan menaiki teksi kemudian segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090331090811/Article/index_html
No comments:
Post a Comment