Oleh Hadzlan Hassan dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Biarpun tindakannya cukup berbahaya, seorang gadis sanggup menunggang motosikal melawan arus untuk mengejar motosikal dinaiki dua lelaki yang meragut beg tangannya di bawah Jambatan Sultan Mahmud, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, Nurul Fatimah Ali, 19, yang bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat peminjam wang berlesen di Jalan Sultan Ismail, diragut beg tangannya ketika dalam perjalanan pulang ke Pekan Batu 6 dari pejabatnya.
Berikutan itu, dia nekad mengejar peragut terbabit walaupun terpaksa menunggang melawan arus ke arah pusat bandar raya.
Motosikalnya terlanggar cermin sisi sebuah Proton Savvy sebelum hilang kawalan lalu merempuh pula sebuah Proton Iswara di belakang.
Ini menyebabkan mangsa yang cedera di kepala, badan dan tangan kanan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana koma.
Ketika cuba mengejar motosikal peragut, Nurul Fatimah dibantu dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebaik melihat kejadian itu.
Saksi, Saifulnizan Ramazan, 23, berkata dia melihat seorang gadis memecut laju mengejar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dengan melawan arus di bawah Jambatan Sultan Mahmud.
Katanya, jalan itu sepatutnya menghala Pekan Batu 6 dari pusat bandar raya.
“Kedua-dua motosikal itu melawan arus menghala ke Kuala Terengganu dari Batu 6. Mangsa membunyikan hon berkali-kali dan menjerit meminta pertolongan menyebabkan saya dan seorang rakan yang menaiki sebuah motosikal segera membantu.
“Kami mengekori dari belakang sebelum melihat motosikal mangsa bertembung sebuah kereta tapi kami terus mengejar penjenayah terbabit selepas melihat orang ramai membantu mangsa,” katanya yang bekerja di bengkel berhampiran.
Menurutnya, dia cuba mencari motosikal yang dikejar gadis itu hingga ke Bukit Besar, tetapi gagal menemui peragut terbabit.
“Motosikal itu jenis Honda EX5 Dream merah hati dengan seorang daripada penjenayah itu memakai baju berbelang, manakala rakannya yang menunggang gagal dicam.
“Saya percaya gadis itu diragut berhampiran bekas pondok tol kerana kejadian menimpa mangsa bukan pertama kali berlaku di kawasan itu, sebaliknya kedua dalam tempoh dua minggu menyebabkan saya geram dengan peragut,” katanya.
Abang mangsa, Mokhtar Ali, 31 pula berkata Nurul Fatimah baru enam bulan bekerja di syarikat itu.
Ketika kejadian, dia berkata, adiknya mungkin baru pulang bekerja dan membawa barangan berharga menyebabkan dia sanggup menggadai nyawa mengejar peragut berkenaan.
Bagaimanapun, seorang kakitangan tempat mangsa bekerja memberitahu Harian Metro, mangsa mungkin membawa barangan penting kerana dia ada meluahkan hasrat untuk melanjutkan pengajian di Kolej Bestari.
Namun, setakat ini, polis belum menerima laporan berhubung kejadian ragut itu menyebabkan kes berkenaan diklasifikasi sebagai kemalangan biasa walaupun ada saksi melihat dan mengejar penjenayah terbabit.
Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Superintendan Nor Azmi Isa, berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan kejadian kemalangan itu membabitkan kesalahan trafik, bukan jenayah ragut.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu segera memberikan kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Laporan awal yang diterima menunjukkan mangsa mengekori sebuah motosikal lain secara melawan arus ke Kuala Terengganu sebelum melanggar cermin sisi sebuah Proton Savvy.
“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu merempuh pula sebuah Proton Iswara di belakang.
“Mangsa cedera parah di kepala selain cedera di tangan kanan dan masih belum sedarkan diri bagi membolehkan polis mengambil keterangannya,” katanya.
Keadaan wanita itu dilaporkan stabil, tetapi masih belum sedarkan diri.
http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20090331085842/Article
No comments:
Post a Comment