Tuesday, March 31, 2009

Tangkal tak kebal, ‘Geng Kimin’ tumpas


SEBAHAGIAN barang yang dirampas daripada ‘Geng Kimin’ yang ditahan di Simpang Renggam, Johor semalam.


JOHOR BAHRU – Sekumpulan tujuh lelaki Indonesia daripada ‘Geng Kimin’ tidak menyangka tangkal yang dipakai ketua kumpulan mereka tidak bermakna apabila kesemua mereka ditahan di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit Bukit Besi, Simpang Renggam di sini semalam.

Polis yang memeriksa seorang lelaki yang dikenali dengan nama Kimin mendapati dia memakai tangkal dibuat daripada kain berwana hitam di lehernya.

Kain yang dijadikan seolah-olah rantai leher itu dipercayai dipakai kononnya bagi menjaga keselamatan si pemakai dan ahli kumpulannya kerana ia didakwa ‘kebal’ malah mereka juga kononnya boleh ‘ghaib’.

Bagaimanapun, kepercayaan itu musnah apabila Kimin sendiri ditahan bersama enam anggotanya.

Kesemua suspek yang berada di negara ini sejak lapan bulan lalu tidak memiliki dokumen perjalanan dan mereka disyaki telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 43 kes jenayah di sekitar Kluang.

Mereka dikatakan memasuki negara ini semata-mata untuk melakukan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kegiatan jenayah kumpulan itu tumpas apabila kesemua mereka ditahan pada pukul 4.30 pagi semalam.

Menurut beliau, semasa diserbu, ketujuh-tujuh suspek yang berusia antara 17 dan 22 tahun termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Kimin cuba bertindak ganas dengan menyerang polis mengguna senjata tajam.

“Polis yang terpaksa mempertahankan diri melepaskan dua das tembakan menyebabkan dua ahli kumpulan itu masing-masing cedera di bahu kiri dan paha kiri,’’ kata beliau.

Bagaimanapun, menurut beliau, ketujuh-tujuh suspek itu kemudiannya dapat ditahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...