PUTRAJAYA: Seorang pelajar perempuan ditahan di sini Jumaat lepas kerana disyaki memiliki ketamin seberat 9.4 gram.
Pelajar berumur 15 tahun itu ditahan ketika ponteng sekolah bersama-sama dua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun serta dua orang penganggur.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Supritendan Abdul Razak Abdul Majid berkata mereka ditahan di Fasa 7, Presint 9 kira-kira 10.30 pagi.
"Serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin ditemui dalam beg sekolah pelajar perempuan berkenaan. Polis sudah pun menghantar serbuk itu ke makmal untuk ujian," katanya.
Beliau berkata pelajar perempuan itu dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini selepas tempoh tahanan remannya tamat semalam, manakala empat lelaki terbabit turut dibebaskan hari ini.
Sementara itu Abdul Razak berkata polis masih memburu tiga lelaki yang menyamar sebagai tukang cuci untuk mencuri komputer riba di pejabat sekitar Putrajaya.
Beliau berkata kes terbaru berlaku Ahad lepas di sebuah premis perniagaan di Presint 14, di mana enam komputer riba bernilai kira-kira RM 22,000 hilang.
Jenayah itu dipercayai dilakukan kumpulan yang sama yang mencuri sembilan komputer riba bernilai RM29,000 dalam dua kes berlainan pada Selasa lepas dan Ogos tahun lalu, katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment