erywan@hmetro.com.my
KLANG: Seorang suri rumah yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kelihatan tenang ketika membuat pengakuan bersalah atas tuduhan mencederakan anak sulungnya dengan menggunakan seterika panas pada Isnin minggu lalu.
Tertuduh, Mazlinda Tubari, 28, membuat pengakuan itu selepas mendengar jurubahasa membaca pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Gen Chee Keong.
Mengikut pertuduhan, Mazlinda didakwa menyebabkan kecederaan terhadap anak sulungnya, Nur Aliya Safa Ismail berumur 12 tahun dengan menggunakan benda panas iaitu seterika.
Dia yang mempunyai tiga cahaya mata dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Sungai Udang, dekat sini, pada jam 7 pagi, 27 April lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Noorbaya mencadangkan tertuduh diberikan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah memerintah Mazlinda dikenakan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan menunggu laporan perubatan serta jatuh hukum.
Difahamkan suaminya hadir untuk membayar ikat jamin itu.
Perbuatan tertuduh itu disedari seorang guru selepas ternampak lengan mangsa cedera sebelum dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah di sini untuk rawatan dan membuat aduan berhubung kejadian berkenaan pada Rabu minggu lalu.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090506051357/Article/index_html
No comments:
Post a Comment