Thursday, May 7, 2009

Ibu negara Mexico kembali beroperasi


PEKERJA sebuah restoran membersihkan kawasan perniagaan di La Condesa, Mexico semalam.


BANDAR RAYA MEXICO - Kebanyakan pejabat dan restoran di sini kembali dibuka semalam selepas seminggu diarah tutup oleh pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak influenza A H1N1.

Sungguhpun angka dijangkiti wabak semakin meningkat, pihak berkuasa Mexico berkata, wabak tersebut sudah berjaya dikawal.

Sejumlah sekolah menengah dan universiti kembali beroperasi seperti biasa hari ini manakala sekolah rendah serta tadika akan kembali dibuka Isnin.

Beribu-ribu penjual akhbar, penjaja dan pengemis jalanan mula menanggalkan topeng muka masing-masing.

Pihak berkuasa masih belum memberi kenyataan mengenai tarikh panggung wayang, dewan teater dan kelab malam dibenar beroperasi semula.

Mexico sebeluim ini didakwa menjadi pusat wabak influenza A (H1N1) yang kini sudah merebak ke lebih 20 negara.

Bagaimanapun, kerajaan Mexico mencabar pendapat yang menyatakan wabak H1N1 berasal dari negara itu kerana terdapat beberapa kes turut berlaku serentak di Amerika Syarikat (AS).

"Mexico bertungkus-lumus mempertahankan semua umat manusia daripada dijangkiti virus ini," kata Presiden Mexico, Felipe Calderon kelmarin.

Menteri Kewangan Mexico, Agustin Carstens berkata, wabak selesema itu menyebabkan negara itu kerugian AS$2.3 bilion (RM8 bilion) kerana arahan menutup aktiviti ekonomi dan sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan 70 warga Mexico selamat tiba di sini dengan sebuah pesawat sewa khas selepas ditahan kerajaan China bagi tujuan kuarantin.

Virus influenza A H1N1 sehingga kini disahkan meragut 31 nyawa di Mexico manakala 1,900 lagi jatuh sakit.

Sementara itu di Beijing, sekumpulan 25 pelajar dan seorang profesor dari sebuah universiti di Kanada dibenar meninggalkan negara itu selepas dikuarantin sejak Ahad.

Sebuah pesawat yang membawa 98 warga China yang terkandas di Mexico akibat kebimbangan virus selesema selamat tiba di Shanghai namun mereka kini dikuarantin selama seminggu untuk pemantauan.

Saluran televisyen tempatan menyatakan, semua penumpang dan krew penerbangan kelihatan sihat tanpa simptom selesema. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...