anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Kelazatan dan nikmat luar biasa hidangan ‘teh lalok’ yang disajikan sebuah restoran mamak kepada pelanggan akhirnya membongkar resipi sulit pemiliknya yang mencampurkan pil khayal kodein dalam bancuhan teh agar pelanggan ketagih dan datang ke restorannya setiap hari.
Penemuan ‘teh gian’ berkenaan yang dicampur pil ubat batuk menyebabkan kebanyakan pelanggan restoran itu terutama golongan remaja kemaruk minum teh berkenaan saban hari walaupun terpaksa membayar RM4 bagi secawan teh.
Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dipatahkan selepas sepasukan pegawai penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan menjalankan risikan bagi mengenal pasti pembekal pil khayal itu kepada pemilik restoran berkenaan.
Sumber penguat kuasa farmasi berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati pemilik premis menjual teh berkenaan memperoleh bekalan pil kodein itu dari farmasi berdaftar di Petaling Jaya.
Menurutnya, peniaga teh berkenaan berusia lingkungan 50-an membeli sekurang-kurangnya 1,000 pil kodein yang disalah guna untuk menambah perisa hebat pada teh tarik dan herba dijual.
Menurutnya, lima pegawai farmasi terbabit dalam serbuan berkenaan dan mengambil rekod jualan pil khayal premis itu.
Beliau berkata, hasil daripada siasatan itu, pihaknya mendapati pemilik farmasi berkenaan pernah menjual 1,000 pil kodein sekali gus kepada peniaga teh berkenaan.
“Difahamkan, pil kodein berkenaan yang digunakan untuk menyembuh batuk dicampur bersama minuman teh bagi mendapatkan kesan khayal.
“Setakat ini, minuman teh ‘lima bintang’ berkenaan turut menjadi kegilaan pelajar sekolah yang menjadi antara pelanggan tetap restoran itu,” katanya.
Katanya, kegiatan berkenaan yang berjalan sejak sekian lama dibimbangi boleh menyebabkan pelanggan dan remaja terjebak ke kancah penagihan dadah akibat ketagih selepas sering meminum teh berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, lebih 3,500 pil kodein dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya.
Sumber itu berkata, kes disiasat mengikut Akta Racun dan jika sabit kesalahan pemilik premis itu boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, pil kodein jika diambil berlebihan boleh menyebabkan mengantuk disusuli rasa mual, pening dan seterusnya ingin muntah.
Ketagihan berterusan menyebabkan kerosakan serius pada paru-paru, hati, sistem penghadaman selain mengganggu buah pinggang.
Pengambilan pil kodein secara berlebihan menyebabkan menjadi mengantuk dan khayal hingga ada antara mereka meninggal dunia semasa tidur.
Difahamkan pil kodein boleh diperoleh dengan harga 50 sen sebiji dan boleh mendatangkan kesan khayal sekiranya dimakan melebihi empat biji sekali gus.
No comments:
Post a Comment