Wednesday, June 3, 2009

Cerita wartawan hutang ah long

Pinjam RM10,000 tapi bayar RM120 sehari selama seumur hidup. Ada peminjam yang gagal diperlakukan seperti binatang.


MANGSA ah long dirantai dalam lokap buatan sendiri di Serdang. Sampai bilakah peminjam sanggup menggunakan khidmat ah long?


MUNGKIN ada yang pernah menyaksikan rakaman yang disiarkan melalui Internet yang memaparkan mayat seorang ibu muda maut akibat bunuh diri. Kejadian beberapa bulan lalu itu berlaku di bawah jejambat kabel sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu terkorban kerana tidak tahan menanggung derita diganggu ceti haram atau ah long. Rakaman melalui laman blog pengacara program penyiasatan stesen televisyen swasta itu cukup meruntun perasaan penonton.

Dua anak kecilnya teresak-esak melihat mayat ibu mereka yang hancur mukanya itu. Biarpun tidak disiar secara meluas kerana visualnya agak ‘ganas’, nasihat pengacara popular dalam laman itu nyata membuka mata kita mengenai kesan ah long.

Rabu lalu, negara sekali lagi gempar dengan kisah tiga lelaki dilokap dan dirantai ah long di Serdang, Selangor. Mangsa yang dirantai dan cuma diberi makan roti itu terpaksa dipapah ke hospital kerana lemah akibat dipukul.

Kesalahannya hanya meminjam wang kurang RM4,000 dan itulah harga yang perlu dibayar setelah gagal melunaskan pinjaman. Persoalannya, kenapa ramai orang masih meminjam daripada mereka biarpun menyedari risiko yang bakal ditanggung.

Menyamar jadi peminjam

Wartawan Kosmo! Ahad baru-baru ini sempat merasai sendiri pengalaman pahit sebagai peminjam melalui cara penyamaran dan berjaya berurusan dengan sebuah agensi ah long di ibu negara. Jumlah yang dipinjam ialah RM10,000 kononnya untuk tujuan bisnes.

Tanpa banyak soal dan hanya bersandar slip gaji, mereka menyerahkan sekeping kertas kosong yang perlu ditandatangani. Wang pinjaman diberi keesokan hari tetapi yang dapat cuma RM6,000; baki RM4,000 didakwa sebagai caj guaman.

Ini menimbulkan persoalan kerana proses itu dibuat tanpa dokumen hitam putih. Ansuran yang perlu dibayar ialah RM120 setiap hari dan hutang pinjaman itu tidak akan selesai sampai bila-bila kecuali si peminjam mampu membayar habis sekali gus RM10,000.




Peminjam juga kena menyediakan cagaran iaitu sekeping pasport atau kad pengenalan dan kad mesin teler automatik (ATM). Bayangkan modus operandi mereka yang tanpa disedari menyebabkan ramai menjadi hamba hingga meninggal dunia.

Seorang peminjam yang ditemui mendakwa dia sudah lima tahun membayar dengan amaun itu namun hutangnya tidak pernah ‘luak’. Justeru bagi menyelamatkan keadaan, dia terpaksa meminjam lagi daripada ah long lain.




Apa tidaknya, peminjam perlu menjelaskan RM120 sehari dan walaupun sudah empat bulan habis membayar RM14,400 termasuk faedah, peminjam masih dianggap berhutang. Hutang itu hanya dianggap selesai jika membayar sepenuhnya RM10,000.

Mujur masalah ah long boleh ditangani jika peminjam yang teraniaya membuat aduan polis. Atas nasihat peguam, wartawan tadi mendapatkan bantuan polis dan ah long itu ‘berlembut’ dengan menuntut cuma membayar balik RM2,000 sekali gus.

Ketika perundingan, secara tidak semena-mena dokumen kosong yang ditandatangani semasa membuat permohonan tiba-tiba sudah ada teks. Ia menerangkan kononnya jumlah pinjaman selesai apabila jumlah yang dibayar langsai dalam tempoh tertentu.

Pihak berkuasa

Mengikut rekod, pihak kerajaan membenarkan pemberi pinjaman berlesen mengenakan kadar faedah 144 peratus setahun atau 12 peratus sebulan bagi pinjaman bercagar. Namun bukan semua ceti terbabit dilihat mematuhi kadar tersebut.

Malangnya biarpun sedar risiko menjadi hamba seumur hidup, ramai yang sanggup bertemu hampir 3,000 agensi ceti itu yang diluluskan Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Birokrasi ketat institusi perbankan menjadi punca gejala itu berleluasa walhal jumlah yang hendak dipinjam tidak sebanyak mana. Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga mendakwa lebih 100,000 petugas awam turut meminjam daripada ah long.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bahkan mengakui kesukaran mendapatkan pinjaman untuk usahawan industri kecil dan sederhana mendorong ceti haram menjadi platform alternatif.

Untuk mendapatkan kepastian, wartawan Kosmo! Ahad cuba membuat permohonan pinjaman daripada beberapa institusi kewangan dan prosesnya terbukti cukup susah. Kecuali beberapa buah bank, pinjaman peribadi cuma dibenarkan jika gaji pemohon besar.

Tidak ketinggalan wartawan itu mencuba belas kasihan institusi zakat yang sepatutnya memperuntukkan dana tertentu untuk asnaf gharimin atau orang berhutang. Sekali lagi, pemohon tidak layak hanya kerana faktor gaji yang dianggap mampu sara diri dan belum tahap fakir.

Setelah melalui pengalaman berurusan dengan pelbagai pihak perbankan dan badan zakat, wartawan Kosmo! Ahad membuat kesimpulan masyarakat lebih sanggup meminjam daripada ah long. Mereka terpaksa berbuat demikian ekoran sistem pembiayaan persendirian negara ini kurang mesra peminjam.

Tidak hairanlah ceti haram bermaharajalela kerana mereka sedar permintaan orang ramai tetap ada sepanjang masa. Sistem pinjaman peribadi di Malaysia sebenarnya menjadi pemangkin kepada ‘keganasan’ ah long.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0531&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...