SEBELUM ini penyanyi rock Akhil Hayy atau Akhil Abdul Hai pernah berjanji untuk memberi komen berhubung kontroversi rumahtangganya dengan Maizawati Zainal semalam.
Ini kerana semalam merupakan tarikh sebutan kes cerai Akhil dan isterinya itu.
Sebelum ini juga Akhil lebih banyak mendiamkan diri dan memberitahu media ‘apa-apa pun tunggu tarikh 2 Jun ini.’
Namun, selepas Mahkamah Rendah Syariah Ipoh memutuskan kes ‘kebenaran cerai’ yang difailkan oleh Maizawati dibawa ke 15 Julai depan, Akhil yang sepatutnya memberikan kenyataan kepada media bagi menjelaskan tentang isu tersebut telah memungkiri janjinya.
Ustaz rock yang dikaitkan dengan penyanyi Waheeda itu seakan-akan mengerti yang media telah berkumpul di luar untuk menyerbunya pada bila-bila masa itu keluar dari mahkamah sambil dikawal oleh dua orang lelaki.
Sambil tersenyum, dia hanya berkata ‘tiada apa-apa untuk dikomen’.
Selepas itu, apabila diasak dengan pelbagai soalan lagi, dia berkata, “Saya akan lakukan perbincangan secara makruf kerana saya rasa hal ini telah menjejaskan kredibiliti saya sebagai pendakwah. Saya hanya follow the flow. Saya harap keputusannya positif.
“Saya minta media tidak membesarkan isu ini. Mungkin lepas ini akan timbul masalah lain.”
Namun di sebalik riak tenang di wajahnya, hos program 'Cafe Akhil Hayy' itu sempat juga memberi komen sinis..."Kalau sesiapa ada masalah boleh adu pada stesen TV."
Temubual yang dibuat dalam keadaan ‘kejar-mengejar’ itu bagaikan merungsingkan Akhil apabila dia terus diasak dengan beberapa soalan lagi.
Lantas, dia terus mengeluarkan kata-kata sinis yang tidak pasti ditujukan kepada siapa, “Mungkin hari ini hari aku, hari korang esok lusa siapa yang tahu.”
Akhil hadir bersama rakan-rakannya bersama kereta proton Wira berwarna hitam hadir di mahkamah agak lambat daripada sepatutnya sehingga Hakim Syarie Mohd. Ridhuan Yusof membuat keputusan untuk menangguhkan kes itu buat sementara waktu pada pagi tadi.
Sejam selepas itu, barulah dia muncul dengan berbaju hitam sepadan dengan warna jubah moden yang dipakai oleh Maizawati.
Bagaimanapun, mereka dilihat tidak sempat bertegur sapa sehingga kes tersebut selesai pada hari ini.
Akhil juga menolak kehendak media untuk merakamkan gambarnya bersama anak-anaknya yang turut hadir bersama Maizawati.
Katanya pendek, “Lain kalilah..”
Sementara itu, Maizawati yang hadir bersama lima orang anaknya dan seorang wanita meninggalkan kawasan mahkamah dengan menaiki kereta Gen 2 berwarna oren selepas memberi peluang kepada media merakamkan gambarnya bersama anak-anak.
http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/3/mstar_hiburan/20090602200516&sec=mstar_hiburan
No comments:
Post a Comment