Wednesday, June 3, 2009

Membunuh dalam tidur

Somnambulisme adalah antara sindrom gangguan tidur yang pelik. Dalam mod lena, penderita boleh bercakap, berjalan-jalan, memandu kenderaan ataupun mencederakan orang lain tanpa disedarinya.


DALAM keadaan separuh sedar ketika tidur, macam-macam boleh berlaku. - Gambar hiasan





APAKAH agaknya reaksi sekalian yang hadir di mahkamah jika seorang yang dituduh membunuh akhirnya dibebaskan dengan alasan bahawa perbuatan itu dilakukan ketika tertuduh sedang tidur?

Tentu sekali menggemparkan! Masakan tidak, keputusan itu seperti tidak masuk akal.

Namun, itulah yang pernah berlaku di Manchester, England pada tahun 2005 apabila Jules Lowe terlepas daripada hukuman membunuh bapanya sendiri.

Lelaki itu terselamat selepas hakim dan jemaah juri mendengar penerangan daripada seorang saksi pakar yang mengesahkan bahawa tindakan Lowe adalah di bawah pengaruh salah satu gangguan tidur atau parasomnia yang di luar kawalan dan kesedarannya.

“Di Malaysia, pembelaan seperti itu boleh diguna pakai. Namun, pakar tersebut perlu meyakinkan mahkamah melalui keterangan, laporan dan bukti kukuh bagi membuktikan bahawa orang yang dibela itu membunuh tanpa niat,” ulas seorang pengamal undang-undang, Zamri Idrus ketika dihubungi Jurnal.

Katanya, perkembangan dalam bidang kajian saintifik dan teknologi perubatan semakin banyak membantu menyelesaikan sesi perbicaraan kes-kes rumit.

Menurut Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh, gangguan jenis ini memang boleh mengakibatkan seseorang penderita melakukan perkara berisiko tinggi.

“Sebelum mencedera atau menyebabkan kematian orang lain, gangguan ini pada awalnya menyebabkan perbuatan pelik seperti bangun berjalan, bercakap, mengendali peralatan dan memandu kenderaan dalam keadaan tidur.

“Lebih tepat, ia dipanggil somnambulisme,” kata Nor Hamidah.







Ketika dalam fasa tidur, saraf dan otot manusia sepatutnya turut dalam keadaan rehat walaupun otak masih terus berfungsi.

Kes gangguan tidur yang teruk seperti ini selalunya disebabkan oleh proses aktif sistem saraf dan juga otot yang bertindak balas seiring dengan proses yang bermain dalam otak.

Stres

Somnambulisme berpunca daripada beberapa kemungkinan seperti kehilangan waktu tidur, sedang mengambil ubat-ubatan yang berkaitan dengan saraf, pengambilan alkohol berlebihan, sedang menderita sesuatu penyakit ataupun mengalami gangguan jiwa.

“Gangguan ini turut didorong stres yang tercetus daripada kejadian menakutkan. Ia boleh juga terjadi kepada seseorang yang telah mengalami trauma seperti kehilangan orang yang dikasihi, kemalangan, peperangan mahupun bencana alam,” terangnya.

Kalau mengenang pementasan Shakespeare juga, pasti penonton mengingati babak Lady Macbeth yang berjalan dalam tidur disebabkan kerunsingannya kerana terlibat dalam pembunuhan bapa mertuanya.

Biarpun seseorang penderita somnambulisme sudah terlibat dalam perbuatan yang lazimnya hanya dapat dibuat ketika seseorang sedang berjaga, mereka tidak dapat mengingat kembali apa yang telah dialami atau dilakukannya.

“Pada peringkat kanak-kanak, berjalan sambil tidur berkait rapat dengan faktor keletihan melampau, kurang tidur atau kerana perubahan yang terjadi di persekitaran tempat tinggal mahupun sekolah,” kata Nor Hamidah yang tidak menolak kemungkinan masalah somnambulisme boleh diwarisi dalam keturunan seseorang.




Kebiasaan yang berlaku pada peringkat ini jika tidak diberi perhatian akan melarat sehingga ke peringkat dewasa.

Pendekatan medikal yang selalu dipraktikkan adalah sesi kaunseling yang disertai pemberian ubat-ubatan yang menenangkan sistem saraf.

Dirasuk

Soalan dirasuk turut Jurnal ajukan kepada pakar rawatan tradisional yang mendakwa dirinya sangat arif dalam hal-hal pelik.

Ketika pakar perubatan menjelaskan secara terperinci dari sudut biologi, medikal, punca dan kaedah rawatan, bomoh itu pula menjawab: “Dia mungkin dirasuk sesuatu yang berminat untuk mendampinginya.

“Jangan tunggu lama, dia perlu dibawa ke sini untuk diubati. Kita perlu singkirkan kuasa itu dari dalam tubuhnya. Jangan fikir dulu tentang bayaran, itu kita bincang kemudian.”

Antara kedua-duanya, kepada siapakah agaknya masalah ini akan dirujuk oleh majoriti masyarakat kita hari ini?

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0531&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...