Wednesday, June 3, 2009

Menjejaki Ustaz Akhil Hayy

MAY 24, 2009


Ceramahnya pasti mencuit hati. Sasarannya ialah golongan muda remaja, yang menjadi tarikan golongan ini ialah kerana setiap ceramahnya pasti diselitkan dengan lagu dan bacaan al-Quran. Tambahan pula beliau lebih dikenali sebagai bekas penyanyi rock berirama heavy metal era 80-an dahulu, mempunyai bakat dalam bidang seni suara. Beliau adalah bekas penyanyi utama kumpulan D'Riyadh yang mula mencipta nama pada tahun 1988 dan 1989 seangkatan dengan kumpulan Wings, Search, Lefthanded dan ramai lagi.

Pernah popular menerusi lagu "Melodi Cinta Lama" dan "Ketenangan Jiwa". Setelah hampir sepuluh tahun, kini beliau tampil dengan imej seorang pendakwah, jika dahulu berseluar ketat dan berambut panjang menyanyi di atas pentas, kini beliau lebih senang menyampaikan risalah Allah sepenuh masa.

Beliau ialah USTAZ HJ. AKHIL ABDUL HAI RAWA. Beliau aktif menyampaikan ceramah dan motivasi pelajar di sekitar Ipoh, Perak. Berasal dari Gopeng, Perak, selepas menamatkan pelajaran di peringkat menengah, beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur. Ikuti pengalaman perjalanan kehidupan yang pernah beliau lalui sebagai bekas penyanyi rock untuk dikongsi bersama sebagai panduan dan pengamatan kita sekalian.


"Pembabitan saya di bidang muzik bermula semenjak di tingkatan tiga lagi. Sebenarnya saya terlalu meminati muzik, umpama kata orang muzik dan saya tak boleh dipisahkan.
Di kampung saya menjadi penyanyi utama kugiran kenduri kahwin. Pada tahun 1988 saya menyertai pertandingan Konsert Box Office anjuran komposer Ali Bakar dan kumpulan kami mendapat tempat pertama mengalahkan 113 buah kumpulan rock di Malaysia. Asalnya memang untuk suka-suka saja, kawan-kawan yang ajak saya menyertai pertandingan tu. Tak sangka pula boleh menang. Bermula dari situ saya mula aktif di bidang nyanyian.

Dari tahun 1986 hingga 1990 saya aktif sepenuhnya di persada muzik dan telah menghasilkan tiga buah album. Masa tu saya memang gila-gila punya rock, rambut perang, kerinting sampai tak nampak mata, seluar ketat, baju singlet, terkinja-kinja atas pentas, tak ingat apa lagi. Masa tu mula lupa diri, habuan datang macam-macam, tapi hati memang tak tenang. Banyak gejala sosial yang kita sendiri hadapi, night life dan disko itu biasa, persekitaran yang tidak mengajak kepada Islam. Dari sembahyang lama kelamaan sembahyang pun dah tak menentu.

Bagaimanapun, iman walaupun ada secalit di dalam hati, InsyaAllah kita akan kembali ke asal kita. Selama hampir empat tahun aktif menyanyi, akhirnya pada 1993 tanpa sebarang masalah kumpulan kami mula berpecah. Puncanya ada yang sakit, yang nak buat kerja sendiri, kami cuba juga ambil ahli lain, tapi masih tak boleh jalan. Akhirnya saya berhajat buat album solo. Masa nak masuk studio, rasanya mula datang hidayah. Ada saja halangannya. Dalam pada tu saya berniaga di KL hampir setahun dan mula tak menyanyi lagi.

Saya mula berhijrah semula ke kampung, rambut masih panjang dan perang lagi. Masa tu mula mendekati masjid semula. Dari segi hakikatnya keluarga saya memang dalam golongan orang-orang beragam arwah atuk seorang tuan guru dan arwah ayah saya sendiri seorang mutawif haji (membawa jamaah haji). Bapa saya tidak pernah memarahi saya, dia cuma menggunakan kaedah psikologi. Beliau sering mengingatkan saya dan memberi nasihat.

Pada 1995 beliau membawa saya menunaikan haji di Mekah, masa tu kita reda. Sebelum ke Mekah saya ada ke Indonesia, arwah bapa bawa saya duduk sekejap di Pasentrian tapi tak sempat memperolehi apa-apa sijil. Lepas daripada tu saya pulang ke Malaysia, sejak itu timbul minat semula. Alhamdulillah ketika itu saya mula masuk ke masjid, orang pun bagi ruang kepada saya berdakwah dan menyampai kuliah, mengajar al-Quran Iqra dan sebagainya di jabatan kerajaan. Saya mula mengajar di Pusat Pembangunan Keluarga di Ipoh. Lepas daripada tu saya sering mengikut ke Mekah secara tidak langsung saya belajar dan mengingat kembali ilmu agama yang ada sedikit dalam diri saya .

Akhirnya beliau kembali ke rahmatullah pada kali ke - 38 beliau Mekah. Pada saya doa yang sering beliau panjatkan setiap kali mengunjungi Baitullah itulah yang mengubah hati saya untuk kembali ke pangkal jalan. Bermula dari situ saya mula mendapat jemputan berceramah pelusuk daerah. Ada yang menyebut dulu kita ni penyanyi kumpulan rock, lagi hebatlah sambutannya. Dari segi politik saya sebenarnya berniat untuk membantu ulamak, seperti yang kita sedia maklum ulamak hari ini semakin disekat suara mereka.

Bagi saya memang tanggungjawab semua orang yang mengaku mukmin menyampaikan risalah. Apapun saya bersyukur kerana mendapat kembali hidayah-Nya. Saya pegang satu perkara sahaja, doa mukmin di multazam ini doa yang makbul. Apa yang saya nampak dalam keluarga saya, sayalah satu-satunya anak yang paling susah dibentuk bak kata orang mungkin black sheep of family Yang buat masalah pun kita, yang menjatuhkan air muka bapa pun kita.

Bayangkanlah bapa kita berceramah di Tabung Haji, kita buat ceramah di Kuala Lumpur dan merata tempat dengan seluar tengkorak dan rantainya. Masa tu kita rasa hanya untuk enjoy, tak fikir apa yang orang tua kita rasa. Selepas berhijrah mula minat balik mengaji dan bangun bertahajjud tengah malam.

Kadang-kadang tak tahu pun macamana boleh tersedar tengah malam. Kalau dulu waktu malam keluar untuk berfoya-foya tapi selepas itu berubah. Dalam proses hijrah itu saya berjumpa alim ulamak yang banyak memberi tunjuk ajar menyumbang ke arah kita beristiqamah ke jalan ini dan InsyaAllah setakat ini belum ada lagi provokasi dengan apa yang saya lakukan. Saya mula berzanji semula sebab memang kita berasal dari situ.

Bila tinggalkan dunia itu, memang terasa gian, teringin nak petik gitar semula tapi bagi saya kalau iman sudah mula bertapak, bila sudah ada roh Islam, secara tidak langsung kita dapat mengawalnya. Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Puas rasanya dapat menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat seagama. Selain dorongan arwah bapa dan keluarga, isteri dan anak-anak adalah sumber inspirasi saya.

Saya berkahwin dengan Maizawati Zainal, beliau merupakan seorang peminat setia saya. Setiap konsert saya beliau pasti turut serta. Alhamdulillah beliau turut serta dalam penghijrahan saya. Perkahwinan kami dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu, Diyana Sofea (7), Siti Nur Maisarah (3) dan Muhd Shariff Hidayatullah, (2). Sekarang peluang untuk menjadi artis berada di depan mata. Memang tak dinafikan minat seni memang ada dalam setiap jiwa insan biasa seperti kita.

Rasulullah sendiri pun suka mendengar seruling. Muzik tidak salah yang penting kita tahu meletakkan muzik yang bagaimana dan cara menghayatinya. Kesedaran sebenarnya melibatkan semua pihak, seterusnya sistern pendidikan dan pihak pemerintah. Contohnya, pihak yang buka jalan seperti pertandingan nyanyian yang tidak dihadkan kategori umur. Berjayanya Yahudi mengubah fikrah umat Islam hinggakan remaja menengah memikirkan tidak perlu lulus peperiksaan tidak mengapa kerana ada jalan untuk masa depan dalam kerjaya nyanyian.

Pihak terbabit sibuk menekankan soal pendidikan dan membangun bersama Islam tapi dalam masa yang sama ada tempat bagi remaja yang tidak lulus periksa terjun ke dunia seni. Bagi remaja pula tidak ada masalah kerana bidang nyanyian ialah satu dunia glamor di tambah pula ibu bapa yang bangga apabila anak-anak menjadi perhatian pujaan ramai.

Harapan saya meminta pihak bertanggungjawab beri ruang sepenuhnya kepada majlis ilmu. Pada saya mengajak anak muda sekarang mudah kerana minda mereka sekarang sudah terbuka, cuma perlu proses istiqamah sahaja lagi. Nasihat saya kepada remaja, jangan terlalu lalai dan leka dengan muzik kerana bahananya sungguh dahsyat. Dunia muzik membuatkan kita lupa siapa diri kita sebenarnya. Gunalah cara lain untuk memupuk seni dan bakat yang ada dalam diri kita. Remaja adalah harapan bangsa, agama dan negara untuk masa hadapan.



- Dimana Ustaz Akhil Hayy kini? 2 Jun 2009 mahkamah Syariah Ipoh akan mendengar perbicaraan kes perceraian beliau dengan isterinya Maizawati Zainal.

-Apakah kegilaan dunia kembali menghantui beliau semula?

Link Berkaitan :-
aku , akhil Hayy dan waheda
Kenangan Bersama Rock
Dari Rock ke Nasyid/ ceramah
Koleksi video Akhi hayy


VIDEO CERAMAH USTAZ AKHIL HAY -seketika bersama PAS dulu:








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...