Wednesday, June 3, 2009

Hari ni, hari kau

Oleh Kasdi Ali dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my

IPOH: Penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy secara sinis menyatakan segelintir pihak mungkin berpuas hati dengan keadaan menimpanya berhubung kisah keretakan rumah tangga dan tuntutan cerai isterinya, Maizawati Zainal.

“Pihak yang nak mencabar kredibiliti (saya) sebagai pendakwah, pihak kawan dan lawan, mungkin sekarang berpuas hati dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Syariah Perak di sini, semalam.

Apapun, menurutnya, semua pihak perlu menunggu keputusan mahkamah.

Namun, dia mengutamakan keadaan kondusif, ketenangan, kedamaian untuk menghadapi sebarang perkara.

“Ia (apa yang berlaku) sedang dicatur tuan punya dunia...tidak apalah, mungkin hari ni hari kau, esok-esoklak hari aku. (Begitupun, bagi saya) apa-apa keputusan dalam keadaan maaruf,” katanya.

Dia turut mengambil kesempatan menyindir tindakan isterinya menghebahkan masalah rumah tangga mereka kepada umum.

“Selepas ini sesiapa ada masalah bolehlah ke stesen televisyen untuk mengadu dan stesen televisyen boleh menjadi mahkamah kedua,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah menetapkan kes tuntutan perceraian itu disebut semula pada 15 Julai ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mengadakan proses sulh (rundingan) supaya kes dapat diselesaikan secara baik.

Mengenai penangguhan kes itu, Akhil berkata, ia disebabkan dokumen tidak siap dan tuntutan tidak dibuat secara terperinci oleh kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Akhil, 40, masih menaruh harapan isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan baik.

“Benda ni (kes tuntutan perceraian) ana (saya) nak selesaikan dengan cara paling maaruf (baik),” kata bekas vokalis kumpulan rock D’Riyadh itu.

Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hai turut berkata pelbagai pihak, terutama rakan serta saudara-mara, termasuk di kalangan ahli keluarga Maizawati memberi sokongan moral kepadanya dalam menghadapi kes berkenaan.

Sementara itu, Maizawati yang membawa enam anaknya, termasuk empat hasil perkongsian hidup dengan bekas penyanyi rock itu ke mahkamah, berkata dia tidak ada sebarang masalah untuk bersemuka dan berbincang dengan suaminya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

“Ini semua ketentuan Allah, selepas ini saya serahkan kepada peguam...kita tengok apa yang berlaku.

“Saya tidak boleh bagi komen, harap semua bersabar dan tengoklah pada 15 Julai nanti (sama ada akan bercerai atau tidak). Saya akan teruskan hidup macam biasa sehingga 15 Julai,” katanya juga enggan mengulas ketika ditanya perasaannya apabila bersemuka dengan Akhil semalam selepas kali terakhir bertemu Februari lalu.

Dia kemudian meninggalkan mahkamah menaiki Proton Gen.2 berwarna jingga bersama semua anaknya.

Sementara itu, Akhil mulanya cuba mengawal dirinya dengan hanya melemparkan senyuman kepada lima daripada enam anaknya ketika berjalan di hadapan mereka sebelum memasuki mahkamah untuk prosiding kes tuntutan perceraian yang difailkan Maizawati, 33.

Dia bagaimanapun tidak dapat lagi membendung naluri kebapaannya apabila mengambil kesempatan memeluk dan mencium anak bongsunya, Muhd Shatiri Hidayatullah, 2, ketika menuju ke kereta selepas berakhir prosiding.

Ketika itu, Muhd Shatiri didukung anggota keluarga Maizawati dan tidak bersama ibu dan lima beradik lain.

Tempoh pelukan dan ciuman kasih sayang selama beberapa saat itu digunakan sepenuhnya Akhil sebelum dengan wajah berat hati meninggalkan Muhd Shatiri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...