Wednesday, June 3, 2009

Kejutan bayi koma

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sangsi selepas bayinya tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan pengasuh, seorang bapa membuat laporan polis, kelmarin kerana mendakwa bayinya yang kini dalam keadaan koma, mungkin berpunca kecuaian pengasuh terbabit.

Dalam kejadian di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, dekat sini, pengasuh terbabit pada mulanya menghubungi ibu bayi berkenaan dan memberitahu anaknya tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata ibu bayi berkenaan menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah hari daripada pengasuh terbabit yang mengatakan anaknya tidak sedarkan diri tanpa diketahui punca sebenar.

“Ibu bayi berkenaan kemudian menghubungi suaminya sebelum mereka berdua bergegas pulang dan mendapatkan bayi mereka yang ditinggalkan di rumah pengasuh itu.

“Ibu bapa bayi terbabit terkejut apabila mendapati anak mereka tidak sedarkan diri,” katanya, semalam.

Menurut Abd Jalil, bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Ampang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dia didapati koma dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan.

“Bapa bayi terbabit yang mengesyaki ada unsur kecuaian di pihak pengasuh kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada pengasuh terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak dan setakat ini polis masih menunggu laporan perubatan daripada hospital.

Difahamkan, selain bayi pasangan suami isteri itu, pengasuh terbabit turut menjaga dua lagi kanak-kanak yang dihantar ke rumahnya oleh jiran.

Kejadian ini kali kedua berlaku dalam minggu ini membabitkan bayi yang ditinggalkan kepada pengasuh dan satu daripadanya mengakibatkan kematian seperti dilaporkan Harian Metro Rabu lalu.

Dalam kes itu, bayi yang berusia dua bulan meninggal dunia ketika berada di pusat asuhan kanak-kanak berhampiran rumahnya di Taman Desa Keramat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090603080315/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...