Thursday, August 13, 2009

21,000 dapat zakat RM18j

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM18 juta kepada kira-kira 21,000 penduduk miskin di negeri ini yang layak menerima bantuan daripada LZS sempena Ramadan dan Syawal.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata setiap mereka yang layak akan menerima wang tunai antara RM500 dan RM1,000 setiap keluaga.

“Bantuan ini kita sudah mula agihkan bermula pada 4 Ogos lalu dan ia dijangka berakhir pada 25 Ogos ini.

“Tujuan kita agihkan wang awal bagi membolehkan orang ramai membuat persedian awal menyambut Ramadan dan Syawal dan saya harap wang ini dimanfaatkan sepenuhnya,”
katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen pembayaran zakat dikenali sebagi kuiz Zakat N Fly 2 membabitkan kerjasama antara syarikat penerbangan Air Asia Berhad.

Turut hadir Ketua Serantau Kejuruteraan AirAsia Berhad, Azhari Dahlan dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

Kuiz itu terbuka kepada orang ramai yang membuat pembayaran zakat bermula dari RM10 dan ke atas.

Mohamad Adzib berkata, kutipan zakat di Selangor kini ialah berjumlah RM103 meningkat RM12 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini kerana kita menyediakan pelbagai cara termasuk potongan gaji bagi memudahkan orang ramai membayar zakat,” katanya.

Pemenang pertama bagi kuiz itu akan menerima hadiah tiket penerbangan dua hala untuk dua orang dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia serta tempat kedua, tiket penerbangan ke Guangzhou, China sementara tempat ketiga pula ke Bandung/Jakarta/Bangkok.

Manakala tempat keempat akan menerima tiket penerbangan domestik.

Borang penyertaan boleh didapati di 22 kaunter zakat LZS dan ia juga boleh dimuat turun dari portal www.e-zakat.com.my. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan seketeriat Kuiz Zakat N Fly 2 di talian 03-55227700.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...