Thursday, August 13, 2009

Ugutan jaga perangkap diri

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SUBANG JAYA: Seorang gadis yang khuatir gambar bogelnya disebarkan teman lelakinya selepas bercadang memutuskan hubungan cinta mereka membuat laporan polis kelmarin.

Berikutan laporan itu, polis menahan teman lelaki gadis berusia 16 tahun itu di sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Subang di sini, beberapa jam kemudian.

Malah, tindakan pantas polis menahan lelaki terbabit berjaya mengelak dia melarikan diri kerana suspek bercadang mahu berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan.

Menurut sumber polis, mangsa mengenali teman lelakinya itu sebulan lalu kerana mangsa tinggal di pangsapuri berkenaan manakala suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan sama.

“Mangsa yang tidak lagi bersekolah sejak sebulan lalu sering mengambil kesempatan berkunjung ke bilik teman lelakinya di pangsapuri berkenaan dan mereka pernah mengadakan hubungan seks beberapa kali,” katanya.

Menurut sumber itu, selepas sebulan berkenalan, mangsa mengetahui yang teman lelakinya ada empat rekod jenayah lampau, baru-baru ini.

“Mangsa meminta hubungan mereka diputuskan.

“Bagaimanapun, suspek masih menyayangi mangsa dan memberi amaran akan menyebarkan gambar bogel mangsa jika masih meneruskan keputusan memutuskan hubungan,” katanya.

Sumber berkata, bimbang ugutan itu, mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

“Mangsa yang takut dan tidak mahu gambar bogel yang kononnya didakwa suspek diambil tanpa disedarinya tersebar nekad membuat laporan.

“Beberapa jam selepas laporan dibuat, polis menahan suspek yang berusia 20-an di kawasan pangsapuri itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan laporan mangsa dan penahanan suspek.

“Hasil siasatan mendapati gambar bogel yang didakwa disimpan dan mahu disebarkan itu tidak wujud dan suspek hanya mengugut untuk menakutkan mangsa kerana tidak mahu memutuskan perhubungan.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mangsa di bawah umur,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090813001443/Article/index_html


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...