Thursday, August 13, 2009

Sesi konvo tak lebih 4 jam

BANGI: Bagi membendung penularan wabak Influenza A (H1N1), sesi konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula Sabtu ini akan dilaksanakan tidak melebihi empat jam untuk mengurangkan risiko pendedahan.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata Konvokesyen UKM ke-37 itu, akan berlangsung sebanyak 10 sidang membabitkan 7,674 penerima pelbagai anugerah termasuk lima Profesor Emeritus dan dua Ijazah Kehormat.

“Bagaimanapun kita menasihatkan graduan yang mempunyai simptom H1N1 supaya tidak menghadiri sidang konvokesyen tetapi jika masih mahu hadir, mereka perlu memaklumkannya supaya topeng muka dapat dibekalkan,” katanya dalam sidang media di UKM, di sini, semalam.

Beliau berkata, graduan juga dinasihatkan supaya tidak membawa bersama golongan berisiko tinggi misalnya ahli keluarga yang lanjut usia, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit diabetes.

“Memang kita faham, ada ahli keluarga mahu turut serta bersama graduan di majlis konvokesyen tetapi kita perlu berbuat sesuatu bagi mengurangkan risiko mereka terdedah dengan H1N1,” katanya.

Dr Sharifah Hapsah berkata, pasukan pelajar Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) juga akan digembleng untuk membantu kakitangan di pos kesihatan dengan memberi topeng muka dan menyediakan cucian tangan kepada tetamu.

“Graduan juga diminta tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Canselor atau Procanselor semasa menerima skrol,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menunjukkan peningkatan kepada 207 orang menjadikan ia satu petanda baik kepada UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, UKM secara berturut-turut mengeluarkan graduan PhD melebihi 100 orang iaitu seramai 116 pada 2005, 125 (2006), 135 (2007) dan 188 (2008) malah menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi, UKM menghasilkan graduan PhD tertinggi.

“Pada tahun ini, 48 graduan PhD adalah dari luar negara manakala 159 lagi tempatan sekali gus selaras dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...